26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

Amang seksual: PU Azman dipenjara 24 tahun, dua sebatan

Mesti Baca

PENCERAMAH selebriti, Azman Syah Alias atau dikenali sebagai PU Azman dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, dua tahun lalu.

Hakim Noridah Adam memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir pembelaan kes tersebut.

“Selepas mendengar keterangan saksi pembelaan dan pendakwaan secara maksima, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah. 

“Tertuduh didapati bersalah dan disabitkan ke atas kedua-dua pertuduhan,” katanya seperti dilapor Utusan TV.

Noridah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 12 tahun dan sekali sebatan bagi setiap satu pertuduhan itu selain hukuman itu diarahkan untuk dilaksanakan secara berasingan, bermula dari tarikh sabitan iaitu pada hari ini.

Mahkamah turut mengenakan perintah kaunseling dan pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman tersebut.

Noridah bagaimanapun menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu memandangkan tiada keadaan istimewa (special circumstances) yang dikemukakan bagi mempertimbangkan perkara itu. 

Advertisements

Terdahulu, peguam Mohamad Zahid Ahmad merayu agar mahkamah mempertimbangkan tempoh pemenjaraan minimum atas alasan beliau merupakan seorang penyumbang utama dalam menanggung keluarganya. 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Izzati Mohamad memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pengajaran bukan sahaja terhadap tertuduh tetapi juga terhadap masyarakat umum dalam usaha membendung peningkatan kesalahan seksual kanak-kanak dalam negara terutamanya di negeri Selangor. 

Sebelum ini, PU Azman, 43, diperintahkan untuk membela diri selepas Mahkamah Sesyen mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah ke atas kedua-dua pertuduhan terbabit.

Pada 7 Disember tahun lalu, Azman Syah yang turut dikenali sebagai Cik Man mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 17 tahun di sebuah inap desa di Sungai Udang, Klang, masing-masing pada jam 12.15 tengah malam 20 Februari dan jam 1 pagi 29 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Azman Syah turut menghadapi sembilan lagi pertuduhan berkaitan seksual iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, dua kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang. 

Advertisements

Terkini

95,000 syarikat di bawah HRD Corp bakal latih pelajar IPMA

SEBANYAK 95,000 syarikat yang bernaung di bawah HRD Corporation (HRDC) sedia menanti para pelajar latihan dalam industri daripada institusi...

Lagi Artikel Berkaitan