SA’ADAH Counseling and Consultation Centre for Wellbeing (Sa’adah Centre), Fakuti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan program Latihan Kepemimpinan Kognitif Ihsan khas untuk penjawat awam.
Program anjuran bersama Bahagian Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu bertujuan meningkatkan kecekapan pentadbiran dan produktiviti kepemimpinan dalam kalangan penjawat awam.
Program yang berlangsung selama empat hari bermula 4 hingga 7 November lalu di Movenpick KLIA Sepang itu menampilkan beberapa pakar dalam bidang agama, kaunseling dan pembangunan sumber manusia serta melibatkan 15 orang peserta dari seluruh negara.
Menurut Penyelaras Sa’adah Centre, Dr Mohd Zaliridzal Zakaria, pengisian dan aktiviti sepanjang program ialah memberi fokus kepada prinsip-prinsip kepemimpinan Islam agar para peserta dapat memimpin dengan lebih efektif dan sesuai dengan nilai-nilai Islam dalam kontekskepemimpinan moden.
“Program ini sangat penting untuk dilaksanakan bagi membantu mengembangkan potensi kognitif ihsan pemimpin dalam kalangan penjawat awam.
“Ini dilakukan melalui peningkatan kesedaran psikospiritual diri, kecerdasan emosi, kemahiran membuat keputusan beretika, komunikasi yang efektif, penyelesaian konflik, pembuatan keputusan strategik, pembinaan pasukan berprestasi tinggi dan kepimpinan adversiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, program latihan itu diharap dapat meningkatkan jati diri psikospiritual para peserta dan sekali gus melahirkan penjawat awam yang berkualiti bukan hanya dari sudut luaran, namun dari sudut mental yang sihat dan nilai ihsan yang tinggi.
“Bersesuaian dengan pendekatan MADANI yang digarap oleh kerajaan, program-program seperti ini perlu dipergiatkan terutamanya dari sudut psikospiritual keagamaan bagi menerapkan nilai Islam, Iman dan Ihsan dalam proses membuat keputusan kepemimpinan terutamanya dalam kalangan pemimpin muda penjawat awam,” jelas Mohd Zaliridzal.
Selain aktiviti latihan dalam kumpulan, para peserta turut terlibat dengan aktiviti berbentuk kerohanian seperti solat berjemaah dan zikir yang dibimbing oleh jurulatih utama, Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi, Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Al-Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia yang berkepakaran dalam bidang Tafsir Sufi.
Beliau menekankan tentang pengertian dan nilai ihsan, kaedah praktikal untuk mencapai ihsan, serta panduan penting dalam mendekatkan diri kepada Tuhan. – Edisi 9

