32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Berita palsu dan pengajaran daripada peristiwa Perang Uhud

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

Oleh MUHAMMAD AL-AMIN GHAZALI

MEDAN Uhud menyaksikan kekalahan umat Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW menentang kaum Musyrikin Mekah dipimpin oleh Abu Sufyan bin Harb pada tahun ke-3 Hijrah dalam Peperangan Uhud.

Perang kedua yang berlaku dalam sejarah peperangan Islam disertai oleh 1,000 orang daripada kalangan umat Islam pada awalnya, namun hanya 700 orang yang tiba di medan peperangan apabila berlaku pembelotan oleh orang-orang munafik, bertembung dengan 3,000 orang tentera daripada kalangan Musyrikin Mekah.

Peperangan ini menyaksikan 70 orang tentera Islam syahid termasuk Saidina Hamzah RA, bapa saudara Rasulullah SAW.

Kekalahan tentera Islam dalam peperangan ini memberi iktibar dan pengajaran yang merangsang pemikiran cendekiawan dan para penuntut ilmu akan faktor-faktor kekalahan umat Islam dan hubungkaitnya dengan umat Islam di zaman moden.

Perang saraf atau senjata minda (Mutalib Maarof, 2014) menjadi salah satu faktor kekalahan umat Islam dalam peperangan Uhud.

Umat Islam bersemangat kental pada ketika itu waima diasak bertubi-tubi oleh musuh-musuh Islam, para Musyrikin Mekah.

Dalam keadaan yang sedang gawat dan huru-hara ketika itu, para Musyrikin mula mengeluarkan satu ‘peluru baru’ bagi memecahbelahkan semangat kental umat Islam, ”Rasulullah SAW telah terbunuh”.

Apabila tersebarnya khabar angin ini, umat Islam yang sedang utuh menahan asakan daripada musuh mula goyah dan hilang semangat.

Taktik sebegini diimplimentasikan oleh kaum Musyrikin kerana mereka betul-betul memahami dan peka terhadap kesetiaan para tentera Islam terhadap Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW pada ketika itu merupakan ketua dan pusat bagi kekuatan dan keutuhan umat Islam. Sebahagian daripada mereka mula berputus asa manakala sebahagian pula mula mempersoalkan kenabian Rasulullah SAW.

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Rabi’ yang menyatakan, ketika umat Islam sedang dalam keadaan cedera diasak oleh tentera Musyrikin, tiba-tiba mereka mendengar “Baginda SAW telah terbunuh”, lalu dijawab oleh sebahagian yang lain “Sekiranya Baginda seorang Nabi, maka Baginda tidak akan terbunuh”.

Penyebaran khabar angin dan berita palsu di tengah-tengah medan peperangan sememangnya memberi impak yang sangat negatif yang boleh menjadi punca perpecahan dan kekalahan.

Dalam mengharungi era pascamoden ini, senjata minda sememangnya memberi impak sangat besar terhadap pertumbuhan negara mahupun pertumbuhan generasi pelapis kepemimpinan di masa akan datang.

Perang saraf dan senjata minda sangat signifikan dengan penggunaan media sosial.

Pemikiran seseorang di era moden sekarang ini sangat mudah dipengaruhi dan dilemahkan.

Penggunaan media sosial yang tidak ditapis mampu untuk melumpuhkan dan membejatkan pemikiran seseorang.

Umat Islam terutama remaja pada hari ini menampakkan seolah-olah pemikiran mereka dijajah.

Advertisements

Kebanyakan daripada mereka berpandangan bahawasanya kemodenan hanya dibawa oleh budaya Barat semata-mata.

Hidup hanya berpaksikan kepada hiburan yang dibawa oleh media dari sana, dan segala apa yang dibawa dan ditonton, ditiru tanpa mengira adakah ianya diterima oleh masyarakat setempat sehingga menampakkan kejanggalan.

“Perkara-perkara yang trending dan viral mestilah diikuti supaya tidak nampak ketinggalan,” kata mereka.

Media sosial seperti Tiktok sememangnya membawa banyak keburukan kepada masyarakat sehinggakan kanak-kanak yang masih terlalu kecil, setahun jagung, sudah terpengaruh dengan budaya-budaya sebegini, hedonisme.

Penyebaran berita palsu juga merupakan antara salah satu senjata minda dan perang saraf yang dimainkan untuk merosakkan pemikiran remaja Islam moden hari ini.

Penyebaran berita palsu dan khabar angin tanpa usul periksa akan sumber dan kesahihannya memang sangat membimbangkan.

Mengambil iktibar daripada penyebaran khabar angin mengatakan Rasulullah SAW telah terbunuh di tengah-tengah medan pertempuran memberi impak sangat buruk terhadap tentera Islam ketika peperangan Uhud.

Berita palsu yang tersebar boleh menyebabkan informasi yang diterima tidak tepat dan salah, mampu mengganggu-gugat keselematan, ketenteraman dan mengancam nyawa manusia.

Berita palsu juga mampu membuatkan sesebuah institusi itu dikritik, dikeji, diancam, dan akhirnya dijatuhkan.

Seperti berita palsu yang disebarkan oleh pro-Zionis dan para pendokong negara haram Israel di media-media sosial untuk memburukkan para penduduk dan pejuang yang mempertahankan tanah air mereka, Palestin.

Para pejuang negara Palestin, Hamas, dituduh dan digelar sebagai pengganas atau teroris oleh masyarakat di peringkat global apabila pelbagai video dan gambar-gambar palsu yang disunting secara membabi-buta oleh para pembenci Muslim dan agama Islam, Islamofobia, disebarkan di platform-platform media.

Penyebaran berita palsu ini juga menyebabkan seluruh dunia menjadi buta dalam menilai pejuang kemerdekaan dan penceroboh kedaulatan.

Mereka mula menyokong dan mengiktiraf pendudukan negara haram Israel ke atas tanah Palestin, kemudian memainkan sentimen pengganas dan sejarah yang mengatakan tanah Palestin sememangnya dijanjikan untuk kaum Bani Israel.

Dapat dilihat impak kepada berita palsu yang tersebar tanpa diperiksa. Minda dan pemikiran kebanyakan manusia kini memang mudah dikuasai dan dijajah walau setinggi mana pun latar belakang pendidikan mereka.

Akhirul kalam, tidak dapat disangkal lagi pelbagai iktibar dan pengajaran dapat diambil daripada kekalahan umat Islam dalam peperangan Uhud yang boleh dikaitkan dengan umat manusia di zaman moden.

Bermula dari penceritaan semula sirah perjuangan Rasulullah SAW dari awal hingga kepada perang saraf dan penyebaran berita palsu, sangatlah signifikan.

Kesemua masalah yang terhasil daripada permasalahan tersebut haruslah dicegah dan ditangani oleh para pendidik dan penuntut ilmu agar tidak memberi impak negatif yang berterusan dan berpanjangan di masa akan datang.

Memetik kata-kata daripada George Santayana (1905) di dalam karyanya The Life of Reason, “Those who cannot remember the past are condemned to repeat it”, juga membawa maksud “Sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya”. – Edisi 9


Penulis adalah pelajar di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Edisi 9.
Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan