31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

FGV bayar balik RM72.2 juta yuran pengambilan pekerja asing

Mesti Baca

FGV Holdings Bhd (FGV) membayar balik yuran pengambilan RM72.2 juta kepada 19,673 pekerja migran yang dibuat dalam tiga peringkat pada Mac, Jun dan September 2023.

Jumlah itu adalah sebahagian besar daripada RM112 juta yang diperuntukkan bagi membayar balik yuran pengambilan yang dibuat oleh semua pekerja migran sedia ada termasuk bekas pekerja migran syarikat perladangan itu.

FGV dalam satu kenyataan berkata, peruntukan itu selaras keutamaannya dalam pelaksanaan pelan pemulihan bagi mendukung hak pekerja serta membuat segala penambahbaikan dalam amalan pengurusan pekerja.

Katanya, ia juga adalah perkembangan positif dalam usaha syarikat untuk menangani penggantungan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).

“Antara komponen utama dalam pelan pemulihan FGV adalah program pembayaran balik yuran pengambilan pekerja yang dikenakan oleh pihak ketiga ke atas pekerja migran FGV.

“Sejajar dengan komitmen syarikat dalam mengamalkan pengambilan pekerja beretika dan bertanggungjawab serta tidak mengenakan yuran pengambilan pekerja, FGV telah memperuntukkan sejumlah RM112 juta bagi membayar balik yuran pengambilan,” katanya.

Dalam proses pengesahan pembayaran balik kepada pekerja migran, FGV berkata, mereka melantik syarikat perunding antarabangsa, LRQA (sebelum ini dikenali sebagai ELEVATE), bagi kerja-kerja pengesahan usaha pembayaran balik yang telah dibuat.

LRQA adalah sebuah firma perundingan bebas dalam bidang kelestarian dan rantaian bekalan yang mempunyai pengalaman luas dalam kerja-kerja pematuhan sosial dan menangani pertuduhan isu buruh paksa melalui pendekatan mengutamakan pekerja.

“Prosedur pengesahan oleh LRQA yang berjalan antara 30 Oktober dan 24 November 2023 telah menunjukkan bahawa 100 peratus pekerja yang ditemubual telah menerima pembayaran balik dibuat oleh FGV.

“Maklum balas positif dari kerja-kerja pengesahan oleh LRQA jelas mencerminkan komitmen FGV dalam menjaga kebajikan dan hak pekerja,” katanya lagi.

FGV berkata, ia turut melaksanakan program pembayaran balik kepada bekas pekerja migran FGV yang layak menerima pampasan bagi yuran pengambilan pekerjaan yang dikenakan oleh pihak ketiga.

Advertisements

Katanya, dengan kerjasama LRQA, FGV bekerja keras menghubungi semula bekas-bekas pekerja migran FGV untuk memaklumkan mengenai program pembayaran balik.

“Hebahan mengenai bayaran balik ini disiarkan secara berkala di media sosial serta akhbar tempatan terkemuka di negara asal bekas pekerja migran.

“Usaha pembayaran balik bekas pekerja migran FGV ini akan dijalankan sehingga penghujung 2024.

“Sehingga kini, FGV telah membayar pampasan kepada 415 orang bekas pekerja migran dengan jumlah terkumpul sebanyak RM1.77 juta,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor, berkata syarikat komited kepada prinsip ‘tiada yuran pengambilan dikenakan kepada pekerja FGV’ dan ia berusaha untuk memastikan prosedur pengambilan pekerja syarikat adalah selari dengan piawaian amalan pengambilan pekerja beretika.

“FGV telah memperkukuhkan prosedur bagi pengambilan pekerja migran dengan pelaksanaan langkah tambahan termasuk menugaskan LRQA untuk mengadakan kaji selidik di kalangan pekerja migran baharu bagi memastikan mereka tidak membuat sebarang bayaran pengambilan pekerjaan kepada mana-mana pihak.

“Perjanjian terkini FGV bersama agensi pekerjaan yang dilantik turut menyatakan tanggungjawab mereka untuk memulangkan sebarang bayaran yuran pengambilan pekerja yang telah dilaporkan oleh pekerja migran. Segala pemulangan yang dibuat oleh agensi pekerjaan akan disemak oleh LRQA.

“Tambahan lagi, latar belakang agensi terbabit akan disiasat sebelum pelantikan dibuat oleh FGV.

“Agensi pekerjaan juga diwajibkan untuk menjalani proses penilaian dan program naik taraf yang dikendalikan oleh LRQA bagi memastikan pematuhan kepada amalan pengambilan pekerja yang beretika,” katanya.

Nazrul berkata, FGV percaya inisiatif serta langkah terbabit akan memperkukuhkan amalan pengurusan pekerjanya, sejajar dengan usaha kumpulan untuk menamatkan WRO. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu masa untuk BN balas jasa PH – Zahid

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) adalah waktu untuk Barisan Nasional (BN) membalas...

Lagi Artikel Berkaitan