Wednesday, July 22, 2026

Kenyataan dipetik di luar konteks, bekas MB buat laporan polis

Laporan polis dibuat agar pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas akaun-akaun media sosial yang telah menyebarkan maklumat yang tidak betul secara tidak bertanggungjawab.

Mesti Baca

BEKAS Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said membuat laporan polis kerana mendakwa kenyataan beliau berhubung isu tanah ladang FGV dan Felda telah dipetik di luar konteks oleh pihak-pihak tertentu.

Laporan dibuat oleh Setiausaha UMNO Bahagian Kemaman, Rosli Ahmad di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di Chukai hari ini.

Rosli berkata, Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman telah didatangi oleh wartawan Berita Harian, Baharom Bakar bertanyakan berkenaan kemelut Kerajaan Negeri Terengganu dan Felda.

“Beliau (Ahmad) telah hanya menjawab pertanyaan-pertanyaan pengamal media tersebut berdasarkan pengetahuan beliau sepanjang menjawat jawatan Menteri Besar Terengganu dan komen-komen beliau kemudiannya telah pun diambil di luar konteks oleh pihak-pihak tertentu dan disebarkan secara meluas di media sosial untuk mendapatkan “mileage” politik,” kata beliau hari ini.

Rosli berkata, beliau diarahkan oleh Ahmad untuk membuat laporan polis untuk meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas akaun-akaun media sosial yang telah menyebarkan maklumat yang tidak betul secara tidak bertanggungjawab.

Laporan itu juga, kata beliau, sebagai langkah permulaan  sebelum memulakan tindakan undang-undang terhadapi pihak berkaitan kelak. 

Semalam, Berita Harian melaporkan bahawa kerajaan Terengganu berhak dan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas FELDA berikutan kegagalan menjelaskan bayaran premium dan cukai tanah.

Ahmad dilapor sebagai berkata, tanah seluas kira-kira 15,000 hektar diusahakan dengan ladang kelapa sawit oleh FGV tidak mematuhi syarat, terutama tidak memasukkan peneroka.

Kenyataan bekas ADUN Kijal itu kemudian digunakan untuk mempertahankan tindakan Kerajaan Negeri Terengganu menyita tanah ladang FGV Holdings dan Felda sebelum ini.

Malahan ada pihak menggunakan kenyataan itu untuk cuba melaga-lagakan Ahmad dengan Pengerusi Felda yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ekoran itu, Ahmad tampil itu menafikan dakwaan ada mengeluarkan kenyataan berhubung penyitaan ladang FGV oleh kerajaan negeri.

Jelas beliau, berita yang dikeluarkan oleh media tempatan semalam adalah kenyataan yang dibuat beliau dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 2010, dan bukannya semalam.

Sebelum ini Kerajaan Negeri Terengganu mengeluarkan notis pencerobohan tanah mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.

Notis larangan pencerobohan tanah itu dipasang serentak di 10 kawasan iaitu di daerah Marang, Setiu, Kemaman dan Dungun Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim dilaporkan berkata, tindakan itu diambil selepas FELDA gagal memberi maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30 peratus tanah milik kerajaan negeri diterokai sejak 40 tahun lalu. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan