SYARIKAT teknologi tempatan, Chamrun Digital Group mencatat kejayaan membanggakan di peringkat antarabangsa apabila meraih dua anugerah pada Sidang Kemuncak Teknologi AI Dunia Dubai 2025, bulan lalu.
Dua anugerah itu ialah Anugerah Penceramah Terbaik dan Anugerah Penyedia Penyelesaian AI Cemerlang yang diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Behrang Parhizkar.
Kejayaan diraih Behrang hasil pembentangannya yang memperincikan rangka kerja strategik terkini syarikat bagi pembangunan kecerdasan buatan (AI) agentik dalam usaha mempercepatkan transformasi sektor awam dan swasta.
Menerusi pembentangan bertajuk “Kerangka Kerja AI Agentik untuk Sektor Awam,” Behrang menekankan bagaimana kerajaan dan industri boleh mempercepat penerimaan AI melalui orkestrasi pelbagai ejen (multi-agent orchestration), Small Language Models (SLM) berasaskan domain, serta format kecerdasan berstruktur seperti JSON, TOON, dan Verified Structured Context (VSC).
Pendekatan tersebut bertujuan meningkatkan ketepatan, mengurangkan kos operasi serta memperkukuh kebolehpercayaan sistem AI.
Pembentangan tersebut menarik perhatian para delegasi antarabangsa, serta pihak penganjur sidang kemuncak menyifatkannya sebagai “antara rangka kerja AI paling sedia dilaksanakan dan sejajar dengan dasar semasa yang dipamerkan tahun ini.”
Pengiktirafan ini turut menonjolkan peranan Malaysia sebagai antara peneraju global dalam pembangunan AI Terapan.
Menurut Behrang, sistem AI agentik yang direka dengan baik berpotensi menjimatkan berjuta-juta jam kerja dengan mengautomasikan fungsi kompleks.
Ini termasuk bidang tumpuan meliputi dasar penyelidikan, pengurusan pertanyaan awam, analitik keselamatan makanan pintar, pemantauan pintar sektor pertanian, pengesanan penipuan digital, pelaporan pematuhan kawal selia, serta pengoptimuman proses dan kecekapan operasi perniagaan.
“Usaha berterusan beliau bersama kementerian-kementerian di Malaysia turut disebut semasa acara berprestij itu sebagai contoh penggunaan sebenar rangka kerja tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kejayaan merangkul dua anugerah tersebut mencerminkan sumbangan signifikan Chamrun Digital Group dalam bidang platform Agentic AI, automasi sektor awam, alatan digital untuk PKS, dan sistem kecerdasan pertanian.
Pengiktirafan ini dijangka mengukuhkan kedudukan syarikat dalam kerjasama strategik di rantau Timur Tengah dan ASEAN.
Sidanh Kemuncak Teknologi AI Dunia Dubai 2025 menghimpunkan pakar global, pembuat dasar dan wakil industri bagi membincangkan kemajuan dalam sistem autonomi, tadbir urus AI, serta pembangunan infrastruktur digital masa depan.

