JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) memperkukuh agenda transformasi digital kerajaan menerusi pelaksanaan Program Kepimpinan AI & Digital, satu inisiatif strategik bagi membangunkan keupayaan kepimpinan sektor awam dalam mereka bentuk dan melaksanakan penyelesaian kecerdasan buatan (AI) yang praktikal dan berskala.
Program intensif selama 21 minggu itu dilaksanakan dengan kerjasama rakan pelaksana industri, Chamrun Digital, serta disokong oleh National Human Resources Development Institute (NHI) Korea dan Seoul National University (SNU).
Inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan sebenar pemimpin sektor awam dalam mereka bentuk, mentadbir dan mengoperasikan penyelesaian Agentic AI dalam persekitaran kementerian yang sebenar, melangkaui pendekatan latihan berasaskan teori semata-mata.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Chamrun Digital, Dr. Behrang Parhizkar berkata, program tersebut membuktikan tahap kesiapsiagaan sektor awam negara untuk mengguna pakai teknologi Agentic AI secara tersusun dan berskala.
“Di bawah kepimpinan JPA, penyelesaian Agentic AI yang dibangunkan peserta telah melangkaui fasa eksperimen kepada aplikasi sebenar yang berpotensi mengurangkan beban kerja operasi, mempermudah proses kompleks serta meningkatkan keupayaan inovasi kementerian,” katanya dalam kenyataan.
Seramai 22 pemimpin kerajaan yang dipilih JPA telah mengikuti latihan intensif merangkumi teknologi AI lanjutan, pembangunan dasar, tadbir urus serta penyelesaian masalah secara aplikasi.
Sepanjang program, peserta dikehendaki mereka bentuk, membina dan mengesahkan prototaip Agentic AI yang berfungsi dan disesuaikan dengan keperluan kementerian masing-masing.
Setiap peserta turut menyiapkan projek menyeluruh yang merangkumi pernyataan masalah, cadangan dasar serta prototaip AI berfungsi, yang menunjukkan potensi besar dalam mengautomasi proses kerajaan yang berulang dan kompleks sekali gus menjimatkan masa kerja yang signifikan.
Antara aplikasi dikenal pasti termasuk perancangan keselamatan makanan yang lebih tepat, pengesanan penipuan dan scam dalam talian, pengurusan pertanyaan awam berskala besar serta pengoptimuman operasi dan pembuatan keputusan kementerian.
Secara keseluruhan, hasil program menyerlahkan peranan Agentic AI sebagai pemangkin peningkatan produktiviti, ketepatan dan inovasi dalam perkhidmatan awam.
Pendekatan berteraskan industri yang diterapkan JPA turut memposisikan jabatan itu sebagai pemacu utama pembangunan bakat AI sektor awam negara.
Kerjasama kerajaan, industri dan akademia ini dilihat sebagai penanda aras baharu dalam usaha membina kapasiti inovasi AI yang mampan, selaras dengan nilai perkhidmatan awam, prinsip kebertanggungjawaban serta objektif nasional negara. — Edisi 9

