Tuesday, July 21, 2026

13 pelajar dikurnia Biasiswa Yang di-Pertuan Agong tahun ini

Dua orang penerima akan melanjutkan pengajian di universiti terkemuka luar negara manakala 11 lagi di universiti penyelidikan tempatan.

Mesti Baca

SERAMAI 13 orang pelajar peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dikurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) bagi tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 10 penerima bagi pengajian di peringkat PhD manakala tiga lagi di peringkat Sarjana (Penyelidikan).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, dua orang penerima akan melanjutkan pengajian di universiti terkemuka luar negara manakala 11 lagi di universiti penyelidikan tempatan.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa menambah baik dasar latihan dan program penajaan bagi memastikan sumber manusia yang berpengetahuan, terlatih dan kompeten untuk keperluan strategik sektor awam dan negara dapat dipenuhi,” katanya hari ini.

Sultan Ibrahim bersama para penerima BYDPA 2025.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan BYDPA 2025 kepada penerima dalam satu majlis di Istana Negara hari ini.

BYDPA, biasiswa paling berprestij di bawah JPA mula diperkenalkan pada tahun 2006 bagi menaja warganegara Malaysia yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik malah aktiviti ko-kurikulum seperti terlibat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau dalam penghasilan kerja-kerja berkandungan elemen kreatif dan inovatif.

Sehingga tahun 2025 sebanyak 20 sesi penawaran telah dilaksanakan dengan seramai 225 warganegara Malaysia menerima penajaan BYDPA iaitu 117 orang di peringkat PhD dan 108 orang di peringkat Sarjana untuk pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Ekonomi; Undang-Undang; Kewangan Islam; dan Kecerdasan Buatan.

“JPA menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku menyempurnakan Majlis Pengurniaan BYDPA Tahun 2025. 

“JPA merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima BYDPA Tahun 2025. Diharapkan semua penerima dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang dan seterusnya memberikan sumbangan bermakna kepada negara,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan