SEMUA ketua jabatan dikehendaki melaksanakan pusingan kerja di organisasi masing-masing mulai Oktober dan kegagalan melaksanakannya bakal berdepan tindakan tatatertib.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan berkata, amaran itu dikeluarkan dalam usaha memastikan setiap kementerian dan jabatan berupa meningkatkan penyampaian perkhidmatan secara optimum dan berkesan.
Menurut JPA, saranan itu merupakan salah satu inisiatif yang disasarkan dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam selari dengan Surat Edaran Pelaksanaan Urusan Pusingan Kerja yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 14 Mei 2024.
“Langkah ini merupakan elemen penting dalam pengayaan dan peluasan tugas (job enrichment and job enlargement) yang menyumbang kepada kemajuan kerjaya pegawai awam dari segi peningkatan kompetensi, pengalaman dan motivasi.
“Selain itu, pusingan kerja ini juga dapat membendung dan menangani masalah prestasi kerja, ketirisan dana awam, penyalahgunaan
kuasa dan amalan rasuah,” kata kenyataan itu hari ini.
Justeru, tegas JPA, semua ketua jabatan dikehendaki memandang serius terhadap pelaksanaan pusingan kerja di kementerian atau jabatan masing-masing.
Katanya, ketua jabatan perlu mengenal pasti dan melaksanakan langkah tersebut terhadap pegawai yang wajar ditukarkan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan sentiasa dinamik dan menepati kehendak
semasa.
“Kegagalan dalam melaksanakan pusingan kerja boleh disifatkan sebagai cuai dalam melaksanakan tugas dan tidak bertanggungjawab.
“Ketua Jabatan boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993],”katanya.
JPA percaya tindakan tersebut akan menjadi peringatan kepada semua pegawai awam tentang kepentingan melaksanakan tugas dan mematuhi arahan yang telah ditetapkan.
Katanya, JPA akan terus memantau dan menilai pelaksanaan pusingan kerja ini untuk memastikan matlamat yang diharapkan tercapai. – Edisi 9