SERAMAI 19 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Ambilan 2023 berjaya menempatkan diri mereka di universiti-universiti terkemuka dunia dalam senarai Top 20 QS World University Ranking Global.
JPA berkata, antara universiti berprestij yang menjadi destinasi mereka termasuk University of Cambridge, Imperial College London, University College London, King’s College London, The London School of Economics and Political Science serta The University of Edinburgh di United Kingdom.
Menurut JPA, pencapaian gemilang hasil kecemerlangan dalam peperiksaan A-Level itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan melahirkan modal insan berwibawa dan berdaya saing di pentas antarabangsa.
“Kejayaan ini mencerminkan iltizam Kerajaan Madani dalam melahirkan
modal insan unggul berkelas dunia, selaras dengan aspirasi menjadikan
Malaysia sebuah negara berprestasi tinggi, berdaya saing dan disegani di
pentas global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di antara pelajar cemerlang yang telah berjaya menempatkan diri di universiti terkemuka dunia ialah Muhammad Umar Nor’azim (University of Cambridge), Chng Suzanne (University of Cambridge), Y. Rubinthiran (Imperial College London) dan Muhammad Fitri Hatim Zainuddin (King’s College London).
Turut mendapat tempat ialah Danish Hariz Ahmad Kamarul (The London School of Economics and Political Science) dan Imran Arif Mokhtar (University of Edinburgh).
JPA berkata, kejayaan itu hasil usaha gigih, disiplin tinggi dan daya juang luar biasa para pelajar dan pendidik sepanjang mengikuti pengajian peringkat A-Level.
Katanya, lebih mengujakan, pencapaian mereka bukan sahaja membanggakan diri, keluarga dan institusi pendidikan, malah turut membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan generasi berkelas dunia yang seterusnya mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa.
“JPA menegaskan bahawa kecemerlangan ini adalah selaras dengan aspirasi
Kerajaan MADANI dalam menyantuni rakyat, berteraskan nilai Kecemerlangan, Integriti dan Ihsan dalam melahirkan generasi pewaris
negara yang berwibawa.
“Para pelajar ini menggalas amanah besar sebagai duta kecil negara, mencerminkan citra rakyat Malaysia yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Sehubungan itu, JPA mendoakan agar mereka terus berjaya dalam pengajian, mengharumkan nama negara, serta kembali ke tanah air dan menyumbang tenaga sebagai modal insan berkualiti tinggi yang akan bersama memacu pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Malaysia pada masa hadapan. – Edisi 9

