23.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, January 15, 2025

Pegawai perkhidmatan awam bukan Melayu kurang 10 peratus

Mesti Baca

JUMLAH pegawai perkhidmatan awam tidak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang berkhidmat di pelbagai kementerian, jabatan dan agensi berjumlah 1,302,429 orang sehingga 31 Disember lalu.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, berdasarkan Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS), daripada jumlah itu hanya 5.4 peratus terdiri daripada orang Cina dan 3.7 India manakala 77.7 peratus adalah kalangan orang Melayu.

Manakala baki 13.2 peratus lagi terdiri daripada Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli serta lain-lain kaum.

“Dalam hal ini, jurang komposisi kaum yang wujud dalam perkhidmatan awam adalah disebabkan bilangan bukan Melayu yang memohon untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan sangat rendah, meskipun peratusan lantikan adalah yang paling tinggi setiap tahun berbanding kaum Melayu,” kata JPA dalam kenyataan, semalam.

Sebagai contoh, pada tahun 2019 hingga 2023, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menerima sebanyak 44,559,514 permohonan.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 77 peratus pemohon terdiri daripada orang Melayu manakala permohonan daripada orang Cina dan India masing-masing hanya 2 peratus dan 3 peratus.

Sementara Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli serta lain-lain etnik lagi mencatatkan bilangan permohonan sebanyak 18 peratus.

Advertisements

“Meskipun bilangan permohonan daripada kaum Cina adalah rendah dalam tempoh lima tahun tersebut, kadar peratus lantikan berbanding calon yang hadir temuduga melibatkan kaum Cina merupakan yang paling tinggi iaitu pada tahap 85 peratus.

“Ini disusuli dengan kaum India sebanyak 68 peratus, Orang Asli (54 peratus), Bumiputera Sabah dan Sarawak (45 peratus), lain-lain kaum (42 peratus) dan Melayu sebanyak 41 peratus.

JPA menjelaskan bahawa urusan pengambilan perkhidmatan awam dilaksanakan sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Melantik (PBM) yang diberi kuasa perundangan untuk melantik seseorang ke dalam sesuatu perkhidmatan berteraskan prinsip meritokrasi serta kesaksamaan peluang.

Proses pengambilan ini, katanya, bertujuan memastikan penyertaan yang adil daripada pelbagai kaum dalam sektor awam.

Hal ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan yang lebih inklusif serta pada masa yang sama memilih bakat terbaik dalam pelaksanaan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi sistem dan proses pengambilan supaya lebih efisien, telus dan mudah diakses oleh segenap lapisan rakyat.

“Kerajaan juga menyeru agar semua rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk memanfaatkan peluang yang disediakan dengan menyertai Perkhidmatan Awam demi menyumbang kepada pembangunan negara, sekali gus menggalakkan lebih banyak peluang yang setara dan inklusif kepada semua,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan SARA disalur kepada 700,000 penerima mulai esok

DALAM usaha berterusan untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri...

Lagi Artikel Berkaitan