SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti dan memadam 31 akaun palsu di Facebook yang menyalahgunakan nama Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
Menurut MCMC, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mengelirukan orang ramai, malah turut menggugat usaha serta menjejaskan fokus NSRC dalam melindungi masyarakat daripada jenayah penipuan dalam talian.
“MCMC menegaskan bahawa maklumat rasmi mengenai NSRC hanya boleh diperoleh melalui saluran agensi penguat kuasa yang sah.
“Orang ramai digesa sentiasa berwaspada, melaporkan sebarang akaun atau mesej meragukan kepada pihak berkuasa, serta bersama mempertahankan integriti NSRC,” kata kenyataan MCMC hari ini.
MCMC berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), NSRC dan penyedia platform media sosial bagi mengekang penyebaran akaun serta maklumat palsu, demi keselamatan pengguna Internet di Malaysia.
Untuk rekod, NSRC ditubuhkan pada 2022 sebagai pusat operasi untuk menyelaras tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian.
Tindak balas ini termasuk pengesanan dana yang dicuri secara lebih cepat dan pengambilan tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah.
NSRC merupakan usaha sama antara Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), MCMC serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi.
NSRC menghimpunkan sumber dan kepakaran daripada kesemua pihak ini bagi membanteras penipuan kewangan dengan lebih cepat dan berkesan. — Edisi 9

