ORANG ramai dinasihat lebih berwaspada dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sepanjang peralihan fasa peralihan monsun ketika ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana semasa fasa peralihan monsun yang bermula minggu ini dan berterusan sehingga November, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah,
Beliau berkata, situasi tersebut boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
Katanya, ini terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
“Keadaan cuaca sebegini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Permulaan fasa peralihan monsun menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 17 Mei lalu.
Nik Nazmi berkata, ramalan dan amaran cuaca akan dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui laman web rasmi, aplikiasi myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.
Sementara itu, beliau telah mengarahkan MET Malaysia untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) penyediaan dan penyebaran maklumat dan amaran cuaca agar dapat dikeluarkan lebih kerap apabila cuaca dijangka menjadi ekstrem atau melampau.
“Pihak MET Malaysia juga telah diarahkan untuk menambah baik aspek komunikasi dalam penyebaran maklumat dan amaran cuaca yang lebih efektif.
“Ini bagi memastikan orang awam lebih cakna terhadap keadaan cuaca semasa dan sekaligus dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Mengenai laporan media mendakwa MET Malaysia tidak keluarkan amaran cuara ketika kejadian ribut dan hujan lebat kebelakangan ini sehingga berlaku kes pokok tumbang dan banjir di utara Semenanjung, Nik Nazmi berkata, ini kerana ramalan sudah dikeluarkan lima hari sebelumnya dan ia masih lagi efektif. – Edisi 9