29 C
Kuala Lumpur
Thursday, October 10, 2024

5 destinasi pantai popular sebelum tengkujuh pilihan Agoda

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

MALAYSIA bakal memasuki fasa Monsun Timur Laut tidak lama lagi. Namun menjelang tibanya musim tengkujuh, orang ramai memilih untuk menghabiskan percutian mereka di pantai-pantai peranginan seluruh negara.

Berdasarkan tinjauan dibuat platform pelancongan digital Agoda, beberapa destinasi pantai di Pantai Timur Semenanjung mendapat pencarian tertinggi untuk percutian terutama pada bulan September dan Oktober.

Berikut adalah destinasi pantai paling popular dalam kalangan pelancong menerusi data tempahan Agoda, untuk dijadikan inspirasi bagi anda dalam merancang percutian pantai sebelum tibanya musim hujan.

1. KUANTAN, PAHANG

Kuantan merupakan sebuah destinasi percutian yang merangkumi beberapa buah pantai yang unik dan menarik sepanjang Pantai Timur. 

Teluk Cempedak adalah pantai kegemaran ramai dengan pasirnya yang halus, batu-batu pantai dengan bentuk yang unik dan suasana yang meriah. 

Pantai ini sesuai untuk aktiviti berkelah dan bersiar-siar di waktu petang.

Pantai Batu Hitam pula mendapat namanya daripada longgokan batu-batu hitam yang terdapat di tepi pantai tersebut.

Bandar raya Kuantan, Pahang. – Sumber: Menara Kuantan 188

Keindahan pantai ini menjadikannya sebuah destinasi percutian yang damai dengan sentuhan mistik semula jadi. 

Pantai Cherating yang terletak berhampiran bandar raya Kuantan pula menjadi tumpuan penggemar sukan luncur air kerana ombaknya yang besar serta terkenal sebagai tempat perlindungan penyu bersarang. 

2. KUALA TERENGGANU, TERENGGANU

Kuala Terengganu mempunyai beberapa buah pantai yang terindah di Malaysia. 

Pantai Batu Buruk terkenal dengan hamparan pasir keemasannya dan pokok-pokok casuarina yang bergoyang lembut apabila ditiup bayu laut. 

Bandar raya Kuala Terengganu. – Foto: Bernama

Pantai ini sesuai untuk aktiviti santai dan juga sukan air yang meriah.

Pantai Teluk Ketapang pula menarik kunjungan ramai dengan lautnya yang tenang dan pemandangan matahari terbenam yang indah, lantas menjadikannya sebuah destinasi percutian pantai yang menceriakan.

Advertisements
3. DESARU, JOHOR

Pantai Desaru sering menjadi pilihan mereka yang berkeluarga. 

Hamparan pasir keemasan di persisiran pantai dan laut yang tenang sesuai dijadikan sebagaisatu destinasi berkelah yang  menyeronokkan dan selamat terutama bagi kanak-kanak kecil. 

Pantai Desaru, Kota Tinggi, Johor. – Sumber: Agoda

Taman tema air dan rizab alam semula jadi yang berhampiran juga menjadi tarikan bagi pengunjung dari semua peringkat umur. 

Dengan adanya pusat peranginan dan hotel yang mesra keluarga yang mudah dikunjungi di sini, Desaru menempa nama sebagai destinasi percutian pantai yang sukar dilupakan, sama ada untuk aktiviti bersantai atau pengembaraan.

4. PULAU PERHENTIAN, TERENGGANU 

Pulau Perhentian yang terdiri daripada Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil adalah destinasi percutian tropika yang terkenal dengan airnya yang jernih, terumbu karang yang indah, dan hidupan marin yang berbilang jenis,  yang sempurna untuk aktiviti snorkeling dan menyelam. 

Pulau Perhentian diiktiraf antara tercantik di dunia. – Sumber: Agoda

Pulau Perhentian Besar menjadi pilihan keluarga serta pelancong yang inginkan ketenangan, manakala Pulau Perhentian Kecil menjadi tumpuan pelancong backpacker dengan suasananya yang lebih meriah. 

Keindahan alam semula jadi yang tidak tercemar menjadikan pulau ini sebuah destinasi yang  hebat untuk aktiviti pengembaraan dan juga bersantai.

5. PULAU TIOMAN, PAHANG

Pulau Tioman adalah salah satu destinasi menyelam terkemuka di Malaysia yang dikenali dengan kepelbagaian biologi marin yang kaya dan air yang jernih. 

Antara tarikan utama di pulau ini ialah taman batu karang yang indah di Pulau Renggis dan pemandangan dasar laut yang hebat di Taman Laut Pulau Soyak. 

Tahun ini, Pulau Tioman menambahkan lagi daya tarikannya dengan muncul sebagai pulau pertama dilabuhkan dua buah gerabak sistem transit aliran ringan (LRT) di Monkey Bay bagi mewujudkan terumbu tiruan yang unik dan tempat pembiakan ikan serta hidupan marin yang lain. 

Pulau Tioman, Pahang. – Sumber: Agoda

Selain daripada aktiviti menyelam, pengunjung juga boleh menerokai hutan hujan yang menghijau, air terjun yang melata, dan mengenali budaya tempatan di kampung tradisional seperti Kampung Air Batang.

Sebelum pusat peranginan pantai ditutup untuk musim tengkujuh, marilah ambil kesempatan ini untuk bercuti bersama rakan-rakan dan keluarga anda bagi mencipta satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Membangun potensi pelajar Orang Asli di IPT menerusi kokurikulum

Oleh NIK AMALENA NAJEBAH NKK AZMAN PADA masa kini, bilangan pelajar Orang Asli di institusi pengajian tinggi (IPT) semakin meningkat,...

Lagi Artikel Berkaitan