Friday, June 5, 2026

Malaysia-New Zealand perkukuh pembangunan Orang Asli

Perbincangan menyentuh pelbagai aspek penting seperti pemulihan hak, pemerkasaan ekonomi, pendidikan serta pewarisan budaya dalam membentuk komuniti peribumi yang maju...

Mesti Baca

MALAYSIA dan New Zealand komited memperkukuh kerjasama strategik dalam memperkasakan komuniti peribumi menerusi pertukaran dasar, pengalaman dan pendekatan membangunkan masyarakat Orang Asli dan Māori.

Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan rasmi antara Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Menteri Pembangunan Māori New Zealand, Tama Potaka, di bangunan Parlimen negara itu sempena lawatan kerja rasmi lima hari ke New Zealand.

Menurut Ahmad Zahid, perbincangan menyentuh pelbagai aspek penting seperti pemulihan hak, pemerkasaan ekonomi, pendidikan serta pewarisan budaya dalam membentuk komuniti peribumi yang maju tanpa mengetepikan akar tradisi masing-masing.

“Saya berkongsi kejayaan kita menempatkan lebih 450 pelajar Orang Asli ke institusi pengajian tinggi tahun lalu. Kita juga sedang meneliti penambahbaikan dasar sedia ada, termasuk semakan semula Akta Orang Asli 1954.

“Komitmen ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam membawa perubahan menyeluruh kepada masyarakat peribumi negara,” katanya hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut memuji kejayaan masyarakat Māori dalam mengusahakan Ōnuku Farm, sebuah projek pembangunan komuniti yang mengekalkan nilai budaya sambil menjana ekonomi secara mapan.

“Projek sebegini boleh dijadikan model inspirasi untuk diterjemahkan mengikut konteks masyarakat Orang Asli di Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pertemuan itu sebagai satu lembaran baharu dalam hubungan Malaysia–New Zealand, khususnya dalam hal membabitkan pembangunan komuniti peribumi sebagai aset warisan negara dan tarikan pelancongan yang bernilai tinggi.

“Insya-Allah, lawatan ini akan memperkukuh iltizam kita untuk membentuk komuniti Orang Asli yang lebih berdaya, sejahtera dan dihormati,” katanya.

Lawatan kerja itu turut membawa mesej memperkasa dasar luar negara berteraskan pendekatan MADANI yang inklusif dan progresif, khususnya dalam memperjuangkan hak serta masa depan komuniti peribumi di peringkat antarabangsa.

Semalam, Ahmad Zahid — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan