Thursday, June 4, 2026

APKS gagalkan cubaan 141 penumpang ‘transit’ masuki negara

Mesti Baca

CUBAAN licik seramai 141 pelawat asing untuk menyusup masuk ke negara ini melalui taktik penyalahgunaan kemudahan transit berjaya digagalkan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), Sepang.

Operasi pemantauan khas yang dijalankan AKPS KLIA dari 12 hingga 14 Julai lalu telah mengenakan Notis Penolakan Masuk (NPM) ke atas 94 warga India, 41 warga Indonesia, tiga warga Sri Lanka dan tiga lagi dari Pakistan.

Menurut kenyataan AKPS, pelawat-pelawat terbabit menggunakan pelbagai taktik mengelirukan pihak berkuasa, termasuk menempah tiket penerbangan sambungan ke negara ketiga bagi memberi gambaran kononnya mereka adalah penumpang transit tulen.

“Namun hasil siasatan mendapati mereka sebenarnya tidak berniat meneruskan perjalanan tersebut dan cuba tinggal di Malaysia secara tidak sah,” jelas kenyataan itu, semalam.

Sebahagian daripada mereka turut dikesan cuba keluar dari balai pelepasan transit dengan memberikan alasan seperti masalah kesihatan, kehilangan tiket, dan isu bagasi. 

Ada juga yang memohon Pas Khas (Special Pass) namun menyalahgunakannya untuk tinggal lebih lama dalam negara.

“Kejayaan operasi ini disumbangkan oleh pemeriksaan rapi pegawai penguat kuasa yang bukan sahaja meneliti dokumen perjalanan dan sejarah lawatan lampau, malah turut menjalankan temu bual terperinci ke atas individu yang menunjukkan tingkah laku mencurigakan serta maklumat tidak konsisten,” katanya.

Semua pelawat yang dikenal pasti kini dalam proses untuk dihantar pulang menggunakan penerbangan terawal yang tersedia.

Ekoran insiden ini, AKPS telah mengambil langkah tegas dengan memperketat kawalan di semua zon transit antarabangsa serta mempertingkat pemantauan menerusi penggunaan sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi membanteras sebarang percubaan bolos pada masa hadapan.

AKPS menegaskan bahawa Malaysia kekal mengalu-alukan kehadiran pelawat asing yang sah, namun tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menyalahgunakan kemudahan imigresen negara. — Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan