SEBANYAK 5,610.55 tan metrik ikan yu direkodkan mendarat di perairan Malaysia sepanjang tahun lalu, menurut statistik Jabatan Perikanan Malaysia.
Sarawak mencatat jumlah tertinggi dengan 2,208.90 tan metrik, diikuti Perak (994.04 tan metrik), Kelantan (783.99 tan metrik), Sabah (545.77 tan metrik) dan Pahang (471.35 tan metrik).
Negeri-negeri lain termasuk Selangor (204.11 tan metrik), Wilayah Persekutuan Labuan (152.41 tan metrik), dan Terengganu (129.35 tan metrik) turut menyumbang kepada angka keseluruhan.
Negeri Sembilan pula tidak mencatat sebarang pendaratan, manakala Perlis dan Kedah masing-masing merekodkan hanya 0.2 dan 1.6 tan metrik.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain, berkata jumlah tersebut membayangkan keperluan mendesak untuk memperkukuh pengurusan sumber perikanan bagi menjamin kelestarian spesies marin yang semakin terancam.
“Sempena Hari Kesedaran Ikan Yu Sedunia pada 14 Julai lalu, Jabatan Perikanan menegaskan komitmen dalam melindungi spesies ikan yu sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan biodiversiti marin negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai langkah perlindungan, lima spesies ikan yu telah diwartakan sebagai spesies dilindungi di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Terancam) 1999 [Pindaan 2019].
Spesies terbabit ialah Sphyrna mokarran (Yu yu tukul parang), Sphyrna zygaena (yu tukul rata), Eusphyra blochii (yu tukul parang – varian), Carcharhinus longimanus (yu sirip putih besar) dan Rhincodon typus (yu paus)
Sebarang aktiviti penangkapan, pemilikan, penjualan atau pengeksportan spesies tersebut adalah dilarang sama sekali dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Menurut Adnan, spesies tersebut merupakan pemangsa puncak dalam rantaian ekologi yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem marin.
“Kehilangan spesies ini bukan sahaja menjejaskan biodiversiti tetapi turut memberi kesan kepada kesejahteraan sumber perikanan negara.
“Kerjasama semua pihak amat penting, termasuk nelayan, pemain industri, NGO dan orang awam,” tegas beliau.
Jabatan Perikanan akan terus mempergiat usaha pemuliharaan melalui pemantauan berterusan, penguatkuasaan undang-undang dan kempen kesedaran, dengan sokongan strategik agensi penguat kuasa serta komuniti nelayan. — Edisi 9

