Saturday, June 13, 2026

Pembesaran AEON Seremban 2 pacu ekonomi komuniti setempat

Melibatkan pembinaan bangunan empat tingkat termasuk dua tingkat tempat letak kereta di atas tanah seluas 23.04 ekar yang terletak bertentangan dengan AEON Seremban 2 sedia ada. 

Mesti Baca

AEON CO. (M) BHD. terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor peruncitan negara dengan memulakan pembangunan baharu bagi pengembangan pusat beli-belah AEON Seremban 2 yang dijangka menjadi pusat beli-belah terbesar di bandar ini menjelang tahun 2027.

Majlis pecah tanah pembangunan tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, diiringi Pengerusi AEON, Datuk Iskandar Sarudin dan Pengarah Urusan AEON, Naoya Okada.

Pembangunan baharu itu melibatkan pembinaan bangunan empat tingkat termasuk dua tingkat tempat letak kereta di atas tanah seluas 23.04 ekar yang terletak bertentangan dengan AEON Seremban 2 sedia ada. 

Kedua-dua bangunan itu bakal dihubungkan menerusi jambatan pejalan kaki bagi memudahkan akses pengunjung.

Dengan jumlah keluasan lantai bersih (NLA) melebihi 700,000 kaki persegi, pengembangan ini bakal mengubah landskap peruncitan di Negeri Sembilan dan sekali gus memperkukuh AEON sebagai destinasi beli-belah pilihan utama rakyat di wilayah ini.

Menurut Okada, pembangunan tersebut adalah cerminan kepada komitmen AEON dalam menyediakan ruang komuniti yang inklusif, moden dan mesra keluarga.

“Kami berbesar hati untuk mengumumkan pengembangan perniagaan kami di Seremban, sebuah bandar yang sentiasa menunjukkan kemajuan dan kemakmuran.

“Pembangunan ini bukan sekadar pengembangan fizikal bangunan pusat beli-belah kami. Ia juga merupakan komitmen kami untuk menyediakan ruang yang lebih baik kepada komuniti di Seremban khasnya untuk membeli-belah, berinteraksi, dan meluangkan masa yang bermakna bersama keluarga.

“Ia juga menawarkan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada pelanggan, di samping membantu pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Okada turut yakin projek ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan selain memperkenalkan pelbagai jenama, pilihan makanan, hiburan dan kemudahan berorientasikan komuniti.

Pengembangan AEON Seremban 2 adalah sebahagian daripada pelan strategik syarikat untuk memodenkan pusat beli-belahnya serta memperkukuh daya saing dalam pasaran runcit yang semakin mencabar.

Tahun lalu, AEON telah membuka pasar raya ke-35 di Setia Alam dan melancarkan cawangan baharu AEON Wellness serta DAISO di Bloomsvale Shopping Gallery, Kuala Lumpur. 

Selain itu, AEON MaxValu Desa ParkCity dan AEON Bandar Puchong turut dinaik taraf bagi meningkatkan pengalaman pelanggan.

Pada tahun ini pula, pusat beli-belah AEON Ipoh Station 18 telah dibuka semula dengan wajah baharu, manakala kerja-kerja naik taraf sedang giat dijalankan di beberapa lokasi strategik termasuk AEON Shah Alam, AEON Bukit Indah, AEON Bandaraya Melaka dan AEON Kinta City.

Pusat beli-belah AEON Seremban 2 sedia ada akan terus beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh pembinaan bangunan baharu yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027. — Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan