Sunday, July 19, 2026

Batik Air latih pelajar B40 MARA jadi jurutera penerbangan

Buat permulaan seramai 50 pelajar MRSM lepasan SPM 2025 akan dipilih bagi mengikuti pengajian dalam bidang tersebut.

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Berkecimpung lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan bersama media arus perdana. Keutamaan dalam penulisan berkaitan politik, sukan dan teknologi maklumat.

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) sedang merangka kerjasama strategik dengan Batik Air bagi melatih para pelajar miskin dan B40 sebagai jurutera profesional dalam industri penerbangan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, buat permulaan seramai 50 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan mengikuti latihan dalam bidang tersebut.

Beliau berkata, mereka yang dipilih adalah terdiri lepasan SPM 2025 golongan B40 yang akan mengikuti latihan bidang profesional kejuruteraan berimpak tinggi yang sangat kritikal kepada operasi syarikat penerbangan seperti Batik Air.

Menurutnya, antara bidang tersebut ialah reka bentuk pesawat penerbangan berbantu komputer (CAAD) serta avionik khususnya penyelenggaraan, membaiki dan membaik pulih (MRO) kapal terbang.

“Batik Air bersedia melatih mereka dengan kerjasama MARA dan mengambil mereka terus bekerja dengan gaji minima RM3,500. 

“Jika mereka lulus sijil profesional kejuruteraan CAAD yang diiktiraf antarabangsa selama empat tahun pengajian, mereka juga boleh mendapat gaji antara RM15,000 hingga RM20,000,” katanya hari ini.

Sebelum itu Asyraf Wajdi menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rana Muthy di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, jika program rintis 50 orang pertama itu berjaya, MARA akan memperluaskan lagi program tersebut melalui institusi TVET MARA.

Beliau berkata, seperti dimaklumkan oleh Chandran, kalangan profesional dalam bidang tersebut mempunyai permintaan yang amat tinggi dalam industri penerbangan bukan hanya dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa.

“Saya yakin hanya dengan ilmu dan kemahiran tinggi sahaja boleh merubah nasib anak-anak bangsa yang datang dari latar keluarga berpendapatan rendah dan miskin. 

“MARA komited untuk membantu anak-anak B40 dan miskin bagi merubah kehidupan mereka,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan