BEKAS Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menafikan dakwaan ada mengeluarkan kenyataan berhubung penyitaan ladang FGV oleh kerajaan negeri.
Jelas beliau, berita yang dikeluarkan oleh media tempatan semalam adalah kenyataan yang dibuat beliau dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 2010, dan bukannya semalam.
“Saya merujuk petikan Berita Harian dan Harian Metro berkenaan isu penyitaan ladang FGV oleh kerajaan Terengganu semalam.
“Petikan berita tersebut adalah kenyataan saya dalam sidang DUN Terengganu pada tahun 2010. Bukannya selepas FGV ditubuhkan.
“Untuk hal pertikaian melibatkan FELDA, FGV dan kerajaan Terengganu hari ini, saya menyeru perundingan damai antara kerajaan Pusat dan negeri dengan menghormati hak semua pihak serta kepentingan rakyat,” katanya hari ini.
Semalam, dua akhbar tersebut melaporkan Ahmad sebagai berkata, kerajaan Terengganu berhak dan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas FELDA berikutan kegagalan menjelaskan bayaran premium dan cukai tanah.
Ahmad dilapor berkata, tanah seluas kira-kira 15,000 hektar diusahakan dengan ladang kelapa sawit oleh FGV tidak mematuhi syarat, terutama tidak memasukkan peneroka.
Sebelum ini Kerajaan Negeri Terengganu mengeluarkan notis pencerobohan tanah mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.
Notis larangan pencerobohan tanah itu dipasang serentak di 10 kawasan iaitu di daerah Marang, Setiu, Kemaman dan Dungun Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim dilaporkan berkata, tindakan itu diambil selepas FELDA gagal memberi maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30 peratus tanah milik kerajaan negeri diterokai sejak 40 tahun lalu. — Edisi 9

