29.8 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Raja Kemboja lantik anak Hun Sen sebagai PM baharu

Mesti Baca

RAJA Kemboja, Norodom Sihamoni pada Isnin melantik Hun Manet sebagai perdana menteri negara itu yang baharu selepas penyandang, Samdech Techo Hun Sen mengumumkan beliau meletak jawatan.

Raja menandatangani dekri diraja untuk melantik Hun Manet, 45, sebagai Perdana Menteri baharu untuk kerajaan selama lima tahun berikutan permintaan daripada Hun Sen.

“Perdana menteri Kerajaan Kemboja yang dilantik mempunyai tugas untuk mempersiapkan anggota Kabinet dalam rangka meminta pengesahan daripada Dewan Negara,” kata Sihamoni dalam dekri diraja.

Dekri diraja berkuat kuasa dari tarikh ia ditandatangani.

Hun Manet, bersama anggota Kabinet baharunya, perlu memenangi undi percaya di Dewan Negara yang dijadualkan pada 22 Ogos untuk secara rasmi menjadi Perdana Menteri baharu dan beliau dijangka mengangkat sumpah pada hari yang sama.

Advertisements

Pelantikan itu dibuat selepas Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Hun Sen mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya umum 23 Julai, memperoleh 120 daripada 125 kerusi di Dewan Negara.

Hun Manet ketika ini adalah ahli Jawatankuasa Tetap CPP dan timbalan ketua komander Angkatan Tentera Diraja Kemboja.

Hun Sen mengumumkan pada 26 Julai bahawa beliau akan berundur sebagai PM selepas memegang jawatan itu selama lebih 38 tahun, menyerahkan tugas pemerintahan kepada anak sulungnya, Hun Manet.

Namun, pemimpin berusia 71 tahun itu berkata beliau mengekalkan jawatannya sebagai Presiden CPP dan akan mengambil jawatan Presiden Senat dalam pilihan raya Senat pada 25 Februari tahun depan. – Bernama

Advertisements

Terkini

Malaysia negara pertama terima visa haji – Mohd Na’im

MALAYSIA menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji 1445H/2024 ini. Menteri...

Lagi Artikel Berkaitan