SELAMA 13 tahun melayari bahtera perkahwinan, pengarah terkenal Aziz M Osman akhiranya sah bercerai bulan lalu.
Perkara itu didedahkan oleh bekas isterinya, Puteri Lily Lokman menerusi Instagram miliknya, semalam.
Tindakan itu diambil berikutan tidak mahu menimbulkan fitnah pada masa akan datang.
“Assalamualaikum kepada ahli keluarga dan kawan rapat, ramai yang bertanya tentang status hubungan saya dengan Aziz.
“Saya dengan rendah diri ingin menyampaikan berita. Secara rasminya, saya dan Aziz sudah berpisah dengan cara baik bulan lalu,” kongsinya di InstaStory.
Puteri turut menegaskan punca perceraian mereka bukanlah disebabkan orang ketiga.
Katanya, perceraian itu juga tidak menjejaskan hubungan dengan anak-anak iaitu Puteri Nur Azzahra, 11 dan Putera Muhamad Aryan yang berusia lima tahun.
Malah anak sulung memahami dan menerima baik keputusan mereka untuk berpisah.
“Jodoh kami ditakdirkan sampai di sini, tetapi kami masih mempunyai hubungan baik demi anak-anak, Insya-Allah.
“Alhamdulillah, Ara seorang anak yang sangat matang. Dapat terima keputusan ini dengan tenang.
“Doakan anak-anak saya kuat emosi dan mental mereka. Doakan urusan kami dipermudahkan,” katanya.
Terdahulu, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2010 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua orang anak.
Ini adalah perkahwinan kali ketiga buat Aziz yang pernah bergelar suami kepada pelakon, Nor Aliah Lee dan mereka memiliki enam cahaya mata.
Selepas berpisah dengan Nor Aliah Lee, Aziz berkahwin dengan Nor Radhiah namun begitu perkahwinan mereka tidak bertahan lama berikutan ia tidak sah kerana wanita itu masih dalam tempoh edah. – Edisi 9