27 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

97,388 pengundi awal tunaikan tanggungjawab esok

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 97,388 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, esok.

Mereka terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis bersama pasangan masing-masing.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan untuk PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dan PRK Kuala Terengganu adalah daftar pemilih terkini yang dikemas kini sehingga 21 Jun 2023.

Ia menyaksikan seramai 49,660 anggota ATM dan 47,728 anggota polis bersama pasangan masing-masing, akan mengundi di 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 tempat mengundi atau saluran awal bagi PRN.

PRK Kuala Terengganu pula akan melibatkan pengundi awal yang terdiri daripada 1,362 anggota polis dan 35 anggota tentera bersama pasangan dengan empat pusat mengundi awal dibuka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu.

Kesemua pusat pengundian awal bagi PRN di enam negeri dan PRK Parlimen Kuala Terengganu akan dibuka serentak pada jam 8 pagi dan akan ditutup secara berperingkat mengikut kedudukan kawasan pusat mengundi.

Advertisements

Di Kuala Terengganu, pusat pengundian awal pertama yang akan ditutup ialah bagi bahagian pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk pada jam 12 tengah hari diikuti DUN Bandar pada jam 2 petang dan yang terakhir DUN Ladang pada 5 petang.

Manakala DUN Wakaf Mempelam tiada pusat pengundian awal.

Terdahulu, SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRN membabitkan enam negeri dan PRK Kuala Terengganu masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala hari pengundian pada 12 Ogos ini.

PRN ini membabitkan 36 kerusi DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40) Selangor (56) serta 36 DUN di Negeri Sembilan.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 29 Julai lepas dan akan berakhir pada 11.59 malam, 11 Ogos. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Wanita perlu jaga darjat, jangan bergaduh kerana ‘buaya’

USAHAWAN selebriti, Datin Thalia Baiduri menitip pesan kepada semua wanita agar sentiasa menjaga darjat serta nilai diri masing-masing. Baginya tidak perlu...

Lagi Artikel Berkaitan