Monday, June 15, 2026

SPR tetapkan tarikh penting PRN hari ini

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri menerusi mesyuarat khad diadakan pagi ini.

Mesyuarat akan berlangsung di Menara SPR di Putrajaya itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

Ia diadakan untuk menentukan tarikh penting PRN bagi Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya itu.

SPR akan mengadakan sidang media sejurus selesai mesyuarat khas itu.

Isnin lalu, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan memaklumkan, mesyuarat khas itu adalah susulan penerimaan notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) keenam-enam negeri itu daripada Speaker DUN masing-masing.

Beliau memaklumkan, SPR telah menerima notis pembubaran rasmi DUN Yang Ke-14 bagi enam negeri itu iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan daripada Speaker masing-masing.

Berdasarkan Artikel 55(4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya wajib dijalankan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran.

Mengambil kira perkara itu, PRN di enam negeri kemungkinan besar diadakan serentak dengan Kelantan yang pertama membubarkan DUN pada 22 Jun.

Ini bermakna PRN perlu diadakan selewat-lewatnya pada 21 Ogos bersamaan 60 hari dari tarikh pembubaran negeri itu. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan