25.5 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Bekas pengetua kekal bebas, lepas tuduhan amang seksual

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MAHKAMAH Tinggi Butterworth hari ini, mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen membebaskan seorang bekas pengetua sebuah sekolah menengah daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki pada 2018.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim, Fathiyah Idris, terhadap Zainuren Mohamed, 59, selepas berpuas hati dengan hakim perbicaraan yang sebelum ini membuat penelitian yang maksimum dan sewajarnya atas kesemua keterangan saksi pendakwaan.

Meneliti keterangan saksi pendakwaan keenam (SP6) dalam pemeriksaan utama dan balas bercanggah – wujud dakwaan siri kejadian amang seksual, tetapi apabila disoal balas SP6 mengakui kejadian-kejadian tidak berlaku.

“Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa perkara ini hanya boleh dikenal pasti oleh SP6, namun SP6 sendiri tidak dapat memastikan perkara berikut. Terdapat percanggahan dalam keterangan SP6,” katanya semasa membacakan keputusan hari ini.

Katanya, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zainuren.

Advertisements

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd Shukri, manakala tertuduh diwakili peguam E. Gnasegaran, Audrey Wee Li Ye dan Vikneshwaran Sehgar.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen membebaskan Zainuren daripada pertuduhan berkenaan pada 24 Mei tahun lepas.

Pada Januari 2019, tertuduh mengaku tidak bersalah bagi dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya berusia 11, 13 dan 14 tahun serta meminta dibicarakan bagi pertuduhan berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik khas pengetua dan asrama di sebuah sekolah di Butterworth antara pukul 4 petang hingga 11.40 malam pada 6 April hingga 10 Oktober 2018. – BERNAMA

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan