PIMPINAN UMNO yang berdepan dengan pelbagai tekanan sewaktu lawan politik berkuasa tidak pernah takut berdepan sebarang tindakan, berani kerana benar.
Itu coretan ringkas Presiden UMNO, DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melalui hantaran di Facebook selepas Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan beliau daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN).
Katanya, syukur ke hadrat Ilahi di atas keputusan mahkamah membebaskan dan melepaskan beliau daripada 40 pertuduhan yang dikenakan terhadap saya semasa kerajaan 22 bulan berkuasa.
“Seperti sering saya nyatakan diri ini amat yakin akan dibebaskan daripada pertuduhan yang sengaja diada-adakan sekiranya mendapat sebuah perbicaraan yang adil.
“Seperti juga saya selalu nyatakan pimpinan UMNO yang berdepan dengan pelbagai tekanan sewaktu lawan politik berkuasa tidak pernah takut berdepan sebarang tindakan, beranilah kerana benar.
“Saksikan kami tidak pernah lari sebaliknya berjuang untuk membersihkan nama kerana percaya kebenaran akan terserlah jua sekiranya perbicaraan dapat dilangsungkan secara telus dan saksama,”katanya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut mengucapkan terima kasih kepada barisan guamannya di atas kemenangan tersebut.
“Terima kasih pasukan guaman bertungkus lumus dan tidak pernah berputus asa mendapatkan keadilan buat diri saya. Terima kasih juga semua yang mendoakan sepanjang perbicaraan ini.
“InsyaAllah keputusan mahkamah ini akan menjadi penguat semangat untuk saya terus memperjuangkan segenap kebenaran yang perlu diangkat walau apa cabaran mendatang.-Edisi 9