26.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 5, 2022

Pasangan suami isteri didakwa aniaya dua anak saudara

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEPASANG suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang atas dua pertuduhan menganiaya dua beradik yang juga anak saudara mereka sehingga mengalami kecederaan fizikal.

Julianah Omar, 34, dan suaminya Muhammad Asyari Mohd Alwi, 29, yang kelihatan tenang mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun sembilan bulan dan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun, telah menganiaya dua kanak-kanak itu sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah pasangan suami isteri itu di Apartment Bella Vista, Taman Cahaya Ampang, pada 5.05 petang, antara Ogos 2022 sehingga 16 Sept 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan, pasangan itu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Baca juga:   Dera Ampang: Ibu saudara serta suaminya ditangkap

Ditanya Hakim Wan Mohd Norisham mengenai status kedua-dua mangsa, Aiza berkata mereka kini berada di hospital dan akan diserah kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala wanita berkenaan yang merupakan tertuduh pertama merupakan adik kepada ibu kandung mangsa.

Baca juga:   Dua beradik dipercayai mangsa dera diselamatkan polis

Bagaimanapun, peguam Azlinie Othman yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan RM7,000 hingga RM8,000 bagi setiap tertuduh kerana Julianah yang tidak bekerja kini mengandung lima bulan serta menghidap diabetis dan gout.

“Keadaan tertuduh pertama (Julianah) adalah berstatus high risk (risiko tinggi) dan memerlukan bekalan serta rawatan berkala di hospital memandangkan dia pernah mengalami keguguran pertama dan kini mengandung lima bulan bersama pasangan baharunya (tertuduh kedua) yang merupakan seorang pemandu e-hailing dan hanya berpendapatan sekitar RM1,500 sebulan,”katanya.

Mahkamah membenarkan pasangan itu masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan, mereka perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran, menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 3 Nov ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen berkaitan kes termasuk laporan perubatan dua beradik itu.

Media sebelum ini melaporkan pasangan terbabit ditahan susulan menerima laporan seorang kanak-kanak lelaki yang berada seorang diri di dalam rumah cuba terjun dan melarikan diri dari tingkap kondominium itu pada 16 Sept lepas.

Baca juga:   208 PATI Filipina diusir pulang ke negara asal

Polis turut menemukan adik kepada mangsa iaitu seorang kanak-kanak perempuan yang juga mempunyai kesan kecederaan lebam di bahagian kaki, tangan serta belakang badan juga dipercayai akibat penderaan.— BERNAMA

Wartawan

Terkini

KPM terus laksana penambahbaikan sistem pentaksiran, penilaian murid

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa melaksanakan penambahbaikan kepada sistem pentaksiran dan penilaian murid seiring dengan keperluan semasa. Menteri Kanan...

Lagi Artikel Berkaitan