Wednesday, July 22, 2026

‘Pakar patologi’ dakwa bedah siasat Zara Qairina dikenal pasti

Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan bahawa suspek bukan seorang pakar patologi.

Mesti Baca

SEORANG lelaki yang mengaku sebagai pakar patologi dan mendakwa terlibat dalam proses bedah siasat kematian remaja, Allahyarham Zara Qairina Mahathir dikenal pasti oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Lelaki terbabit yang menggelar dirinya  “Dato’ Prof Dr. Tunku Iskandar” dalam akaun Tiktok dikesan di Kota Damansara, Kuala Lumpur malam semalam selepas MCMC merakam keterangan dua individu yang turut bersama dalam sesi ‘TikTok Live‘ akaun berkenaan.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk proses rakaman keterangan. 

“Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan bahawa suspek bukan seorang pakar patologi,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

MCMC berkata, peralatan komunikasi milik lelaki terbabit turut dirampas bagi tujuan analisis siasatan lanjut.

“MCMC menegaskan bahawa penyebaran maklumat palsu, khususnya yang melibatkan isu sensitif berkaitan kematian, tragedi atau mangsa nahas, adalah satu kesalahan serius yang boleh menyinggung perasaan keluarga, mengelirukan masyarakat serta mengganggu proses siasatan pihak berkuasa,” katanya.

Kes ini disiasat oleh MCMC di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]. 

Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta 588, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kes ini juga turut disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan.

Pada 16 Ogos lalu, Polis dan MCMC mengesan seorang individu yang mendakwa dirinya ‘pakar bedah’ kononnya terlibat dalam proses bedah siasat Allahyarham Zara Qairina baru-baru ini.

Dalam satu siaran langsung di platform TikTok pada Rabu lalu, ‘pakar bedah’ itu memberi gambaran berbaur rumusah seolah-olah mangsa terjun sendiri dari bangunan sekolah — Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan