TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Halal Malaysia yang memberi tumpuan kepada hala tuju ekosistem halal negara.
Menurut Ahmad Zahid, mesyuarat tersebut bertujuan memastikan dasar, strategi pembangunan dan pelaksanaan industri halal Malaysia kekal relevan serta berdaya saing di peringkat global.
“Mesyuarat turut menggariskan kepentingan penyelarasan rentas agensi agar usaha yang dilaksanakan dapat bergerak seiring dan saling melengkapi,” katanya menerusi media sosialnya hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee; Penyelaras Hal Ehwal Halal, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff sert wakil agensi-agensi berkaitan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia berkata, negara ini mempunyai kedudukan istimewa dalam industri halal dunia.
Justeru, tegas beliau, komitmen bersama amat diperlukan untuk terus mengekalkan peranan sebagai peneraju utama.
“Saya menekankan bahawa pendekatan bersepadu ini akan melonjakkan potensi ekonomi halal negara, memperkukuh kedudukan Malaysia di pasaran antarabangsa, serta memberi manfaat yang lebih luas kepada rakyat.
“Insya-Allah, dengan kesungguhan serta kerjasama semua pihak, ekosistem halal Malaysia akan terus berkembang sebagai kebanggaan negara dan rujukan dunia,” katanya. — Edisi 9

