PERTUDUHAN terhadap suspek-suspek yang dikaitkan dengan kes kematian Zara Qairina Mahathir merujuk kepada perbuatan buli sahaja, tiada kaitan dengan kematian remaja terbabit.
Menjelaskan perkara itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, atas sebab itu pertuduhan terhadap lima suspek di bawah umur itu dibuat di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan.
Menurut AGC, kenyataan media peguam lantikan ibu mangsa, Noraida Lamat untuk menangguhkan pendakwaan serta cadangan agar suspek dituduh di bawah seksyen 507D(2) kanun sama hanya bersandar kepada spekulasi tanpa disokong oleh fakta yang tepat.
“Berdasarkan penelitian Jabatan ini terhadap kertas siasatan, pertuduhan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibuat kerana pertuduhan ini merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina.
“Kenyataan peguam di Perenggan 4 kepada Kenyataan Media tersebut adalah bersifat spekulatif tanpa disokong oleh fakta yang tepat.

“Oleh yang demikian, Jabatan ini sekali lagi menegaskan bahawa pertuduhan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan di dalam kes ini adalah bersandarkan kepada bukti dan fakta yang diperoleh hasil daripada siasatan yang dijalankan,” kata kenyataan AGC hari ini.
Sehubungan itu, AGC berkata, prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca kematian sebenar Zara Qairina.
Sebelum ini, media melaporkan pasukan peguam yang mewakili Noraidah memohon agar pendakwaan yang dijadualkan pada Rabu ditangguhkan sementara waktu supaya dapat dipertimbangkan semula untuk mendakwa lima remaja terbabit di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
Dalam kenyataan media bersama, pasukan peguam itu memaklumkan bahawa mereka baru mengetahui lima remaja tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli Zara Qairina.
“Selepas kami mengeluarkan kenyataan media semalam, kami baru mengetahui bahawa lima remaja tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli Zara Qairina.
“Kami dengan ini memohon agar Peguam Negara dapat menangguhkan pendakwaan tersebut buat sementara waktu.
“Kami memohon agar Peguam Negara dapat mempertimbangkan agar semua remaja di atas dituduh di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
“Sekiranya keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan sabitan bagi kesalahan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, kami berharap siasatan lanjut dapat diteruskan menjurus ke arah kesalahan tersebut dan pendakwaan ditangguh seketika,” katanya hari ini. – Edisi 9

