36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

JIM serbu penempatan haram dikelilingi kebun di Pulau Meranti

Daripada 22 tangkapan yang dibuat pagi tadi, 17 daripadanya adalah warga Indonesia dan lima warga Bangladesh.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 22 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan menerusi serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah penempatan haram yang dikelilingi kebun di Pulau Meranti, awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh telah mengetuai serbuan yang dijalankan kira-kira jam 1.30 pagi dengan kekuatan 238 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

Turut serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ruslin berkata, pemeriksaan di kawasan penempatan haram ini mendapati terdapat beberapa rumah yang dikelilingi kebun sayur seperti bendi, lobak dan bayam.

“Malah, turut dilengkapi dengan bekalan elektrik dan air,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dipercayai terdapat kediaman haram itu dijadikan tempat sementara penginapan atau transit PATI.

Katanya, daripada 22 tangkapan yang dibuat pagi tadi, 17 daripadanya adalah warga Indonesia dan lima warga Bangladesh.

“Melalui pemeriksaan dan siasatan awal mendapati antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan.

“Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata, JIM akan membuat semakan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti pemilik tanah terbabit.

“Tindakan ke atas pemilik dan premis akan disusuli mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Hadir sama,Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Jafri Embok Taha; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Mohd Jasmi Mohd Jawahir; dan Pengarah Imigresen Negeri Selangor, Dr. Muhammad Syahmi Jaafar. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Malaysia Negeri Johor menyerbu sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, Johor Bahru awal pagi ini dan...

Lagi Artikel Berkaitan