JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang didapati terlibat dengan salah laku rasuah sama ada yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau mana-mana Pejabat Imigresen di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, jika terdapat pegawai Imigresen yang didapati bersalah, jabatan ini tidak akan melindungi pegawai tersebut.
“Jabatan juga akan mengambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk beberapa laporan berita yang diterbitkan yang mengaitkan dakwaan terdapat segelintir kakitangan jabatan ini terlibat dengan amalan rasuah dan pelanggaran integriti.
Beliau berkata, JIM menyerahkan sepenuhnya siasatan berkaitan dakwaan ini kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ujarnya, jabatan ini sentiasa berhubung, berbincang dan berkongsi maklumat dengan SPRM untuk membantu proses siasatan dengan lebih telus tanpa sebarang gangguan dari pihak luar.
“JIM komited dalam menambah baik Standard Operating Procedure (SOP) untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan juga pelawat asing yang memasuki Malaysia,”katanya. – Edisi 9