TRANSIT Aliran Ringan (LRT) 3 Laluan Shah Alam akan mula beroperasi pada 1 Mac 2025 yang bakal memanfaatkan lebih dua juta penduduk di koridor barat Lembah Klang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang turut melawat Depoh LRT3 Johan Setia petang tadi berkata, projek yang menelan belanja RM16 bilion itu sudah mencapai perkembangan sehingga 86 peratus.
“Sukacitanya saya mengumumkan kemajuan LRT3 setakat ini mencapai tahap 86 peratus dan dijangka dapat mula operasi 1 Mac 2025.
“Kita jangka LRT3 dapat memanfaatkan lebih dua juta penduduk koridor barat Lembah Klang merangkumi Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Anthony Loke berkata, LRT3 mempunyai 20 stesen dan terdapat dua stesen pertukaran iaitu Stesen Glenmarie (LRT Laluan Kelana Jaya) dan Stesen Bandar Utama (MRT Laluan Kajang).
LRT3 melibatkan laluan sepanjang 37.8 kilometer (KM) itu akan menggunakan 22 tren baharu yang boleh membawa 18,630 penumpang pada setiap jam.
“Memang tidak sama di 20 stesen LRT3 semua tren baharu, kita harap ia beri satu kemudahan dengan tren yang cukup selesa.
“Semua tren baharu ini menggunakan teknologi hijau supaya lebih mesra alam. Saya dimaklumkan semua tren itu sudah bersedia dan diuji supaya dapat beroperasi dengan baik apabila laluan itu dibuka nanti,” katanya. – Edisi 9