25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

TVET pembinaan: CIDB, MRCB jalin kerjasama

Mesti Baca

LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengumumkan kerjasama dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET dalam industri pembinaan di negara ini.

CIDB dalam satu kenyataan berkata, kerjasama tersebut akan dilaksanakan menerusi pembangunan kompetensi pelatih TVET termasuk kurikulum, tenaga pengajar serta infrastruktur latihan.

Katanya, program kerjasama itu akan memberi tumpuan khusus kepada Pembinaan Modular, iaitu satu kaedah pembinaan mampan yang mampu mengurangkan sisa dan pelepasan karbon, serta mengurangkan pergantungan industri kepada tenaga buruh asing.

“Menerusi kerjasama ini, MRCB akan memberikan sumbangan dan perkongsian kemudahan serta peralatan, pembangunan kurikulum dan bahan latihan seperti yang dipersetujui kedua-dua pihak.

“Selain itu, MRCB akan turut memberi sumbangan khidmat kepakaran dalam peningkatan kebolehpasaran graduan TVET dalam pembangunan kompetensi termasuk kurikulum, tenaga pengajar serta infrastruktur latihan.

“MRCB juga akan memberi pertimbangan untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada graduan TVET yang berkelayakan,” kata kenyataan itu hari ini.

Perjanjian persefahaman itu ditandatangani oleh CIDB Holdings, anak syarikat CIDB Malaysia yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid manakala MRCB pula diwakili oleh Naib Presiden Eksekutifnya, Datuk Seri Ir. Dr. Judin Abdul Karim.

Advertisements

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung semalam yang turut disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Holdings, Supian Musa.

MoU ini ditandatangani berikutan pembentangan Bajet 2023 yang menyebut MRCB sebagai peneraju industri pembinaan yang dikenal pasti untuk memperkasakan kerjasama awam-swasta dalam memastikan program-program TVET dapat memenuhi tuntutan industri.

Sementara itu, kata kenyataan itu, CIDB Holdings akan berkongsi maklumat dan kepakaran berkaitan pembangunan kapasiti dan program latihan kecekapan kemahiran, inovasi dan teknologi pembinaan yang boleh menambah nilai kepada bidang pembinaan dan lain-lain
seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

“CIDB Holdings juga akan memberi kerjasama dengan memberi input dan menyokong inisiatif penambahbaikan latihan melalui penambahbaikan kurikulum dan bahan pembelajaran,” katanya.

Perlaksanaan kerjasama ini akan melibatkan Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Tech, iaitu pusat latihan yang dikelolakan CIDB melalui CIDB Holdings. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan