SEORANG penyokong Arsenal merah padam selepas ciapannya di Twitter pada 31 Januari lalu berkenaan tindakannya membatalkan percutian di Mauritius semata-mata untuk melihat Arsenal menjualang trofi timbul semula.
Menggunakan akaun bernama @fkhange, penyokong itu berkata, dia dan isterinya menempah percutian mereka pada tahun lalu kerana tidak mengetahui Arsenal berpeluang menjadi juara Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Sejak tahun lalu, saya dan isteri menempah percutian keluarga ke Mauritius, akan berlepas pada 26 Mei. Baru-baru ini saya perasan perlawanan terakhir adalah menentang Wolves pada 28 Mei.
“Jadi saya membatalkan percutian. Isteri saya mengamuk, agak menakutkan untuk pulang ke rumah. Lebih kami menang liga, doakan saya,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Ketika ciapan itu ditulis, Arsenal berada tahta liga dengan berkelebihan lima mata berbanding Manchester City serta masih beraksi kurang satu perlawanan.
Situasi itu menyebabkan ramai penyokong yakin kelab utara London itu mampu menamatkan penantian 19 tahun trofi EPL sejak kali terakhir memenanginya pada 2004.
Arsenal terus melebarkan jurang kepada lapan mata pada Mac lalu namun prestasi terumbang-ambing yang dipamerkan pada April menjejaskan peluang mereka menjuarai liga.
The Gunners hanya mengutip sembilan mata daripada tujuh perlawanan sementara skuad bimbingan Pep Guardiola menang 11 perlawanan berturut-turut.
City akan dinobatkan sebagai juara jika Arsenal gagal menewaskan Nottingham Forest atau mereka menang ke atas Chelsea pada hujung minggu ini.
Dalam pada itu, ada pengguna media sosial lain memerli penyokong Arsenal tersebut.
“Hantarkan surat cerai kawan,” katanya sementara seorang lagi berkata, “Itu satu penghargaan besar membatalkan percutian untuk menonton perlawanan Wolves.” – Edisi 9