WEST HAM berjaya membenam kelab seteru kota London, Arsenal, 3-1, di Stadium London awal pagi tadi, sekali gus mara ke peringkat suku akhir Piala Liga Carabao.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta melakukan enam perubahan dalam kesebelasan utamanya dengan merehatkan pemain tonggak, Declan Rice, Bukayo Saka dan kapten Martin Odegaard di bangku simpanan.
Keputusan tersebut digunakan sebaik mungkin The Hammers apabila mendahului pada minit ke-16 menerusi gol sendiri Ben White.
Gol tersebut terhasil menerusi sepakan penjuru yang diambil Jarrod Bowen menuju terus ke arah penjaga gol, Aaron Ramsdale namun White yang berada di depan tertanduk bola tersebut masuk menerjah gawang.
Arsenal mendominasi perlawanan selepas itu namun gagal mencetak sebarang gol sebelum Mohammed Kudus menambah gol kedua tuan rumah pada minit ke-50 menerusi rembatan leret dari dalam kawasan penalti.
Bowen terus melebarkan kelebihan West Ham pada minit ke-60 apabila melepaskan sepakan voli dari luar kawasan penalti yang terbias Jakub Kiwior sebelum masuk melepasi Ramsdale.
Arsenal memperoleh gol saguhati menerusi Odegaard pada waktu kecederaan namun tidak mampu menghalang West Ham untuk mara ke suku akhir buat kali ketiga berturut-turut.
West Ham bagaimanapun bakal menentang satu lagi kelab besar Inggeris selepas diundi bertemu Liverpool di Anfield. – Edisi 9