KELAB divisyen tiga, FC Saarbrucken mencipta kejutan apabila menyingkirkan Bayern Munich, 2-1, dalam aksi pusingan kedua Piala Jerman, di Ludwigsparkstadion, awal pagi tadi.
Lebih manis lagi, kemenangan ke atas juara Bundesliga musim lalu itu diperoleh pada minit keenam waktu kecederaan menerusi jaringan Marcel Gaus.
Tindakan pengendali Bayern, Thomas Tuchel merehatkan beberapa pemain utama seperti Harry Kane, Jamal Musiala dan Serge Gnabry nyata memakan diri.
Ini selepas perlawanan yang diramal Bayern akan mencatat kemenangan besar di Saarbrucken bertukar menjadi mimpi negeri buat kelab Bavaria itu.
Namun, segalanya tampak seperti dirancang apabila pemain lagenda, Thomas Müller meledak gol pendahuluan pada minit ke-16 menerusi rembatan dari luar kawasan penalti.
Pelawat menerima tamparan hebat selepas itu apabila kehilangan tonggak pertahanan, Matthijs de Ligt yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-25 kerana kecederaan lutut.
Saarbrucken yang lebih gemar beraksi secara bertahan berjaya menyamakan kedudukan pada minit akhir pemainan apabila pertahanan Bayern, Kim Min-Jae gagal memintas hantaran ke dalam kawasan penalti sebelum disudahkan Patrick Sontheimer.
Bayern terus mendominasi perlawanan dengan 75 peratus penguasaan bola namun kegagalan menyudahkan peluang terhidang digunakan sebaik mungkin Saarbrucken untuk mengambil kesempatan.
Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Gaus muncul wira apabila menolak masuk hantaran silang pada waktu kecederaan, sekali gus menewaskan Manuel Neuer buat kali kedua dalam perlawanan tersebut. – Edisi 9