27 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 24, 2023

Kane terus meledak di Bundesliga

Cetak gol keempat buat Bayern Munich dalam empat perlawanan

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

PENYERANG Bayern Munich, Harry Kane terus mempamerkan ketajaman penyudah yang dimilikinya apabila mencetak gol keempat dalam empat penampilannya bersama skuad Bavaria tersebut.

Dalam aksi Bundesliga menentang Bayer Leverkusen awal pagi tadi, kapten England itu meletakkan Bayern di depan pada minit ketujuh apabila menanduk masuk sepakan penjuru, Leroy Sane.

Sepakan penjuru tersebut terbias kepala bekas pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka sebelum ditanduk masuk Kane melepasi kawalan Lukas Hradecky di gawang pelawat.

Untuk rekod, jaringan tersebut menyaksikan Kane menyamai rekod penyerang lagenda, Miroslav Klose apabila meledak empat gol dalam empat perlawanan pertama untuk juara Jerman itu.

Bagaimanapun, Leverkusen yang dibimbing Xabi Alonso bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-26 menerusi sepakan percuma menarik Alejandro Grimaldo.

Kane terlepas peluang menambah jaringan peribadinya dalam perlawanan itu apabila percubaannya dari dalam kawasan penalti diselamatkan Hradecky.

Namun, Bayern akhirnya kembali di depan pada minit ke-86 apabila Leon Goretzka yang tidak dikawal mudah menolak masuk hantaran Mathys Tel untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun, impian anak buah Thomas Tuchel meraih tiga mata penuh tidak kesampaian apabila Leverkusen dihadiahkan sepakan penalti pada waktu kecederaan.

Pemain tengah Argentina, Exequiel Palacios tidak berdepan masalah menewaskan Sven Ulreich untuk membawa pulang satu mata penting dari Allianz Arena. – Edisi 9

Terkini

Kes bunuh: Polis buru dua suspek warga Sri Lanka

POLIS memburu dua suspek lelaki warga Sri Lanka kerana disyaki terlibat kes bunuh tiga warga senegara di sebuah rumah...

Lagi Artikel Berkaitan