BEKAS pemain sayap Aston Villa, Anwar El-Ghazi dilapor ditamatkan kontrak bersama kelab Jerman, Mainz susulan hantaran pro-Palestin yang dimuat naiknya, baru-baru ini.
Pemain Belanda berusia 28 tahun itu sebelum ini digantung kelab Bundesliga berkenaan yang mendakwa tindakan tersebut tidak selari dengan nilai kelab.
Namun menurut BBC, susulan mesyuarat yang diadakan Khamis lalu, Mainz mengambil keputusan membatalkan kontrak El-Ghazi yang sepatutnya berakhir pada 2025.
Kelab itu mendakwa El-Ghazi enggan meminta maaf dan sebaliknya menegaskan pendirian menyokong keamanan dan kemanusiaan kepada semua mangsa peperangan.
“Palestin akan bebas,” tulis El-Ghazi menerusi Instagram story sebelum pemain itu memadam hantaran tersebut.
El-Ghazi merupakan antara beberapa pemain yang tegas menyatakan sokongan terhadap konflik antaran Israel dan Palestin.
Pemain sayap itu pada jendela perpindahan musim panas lalu dikaitkan dengan perpindahan mengejut ke Manchester United, yang mana El-Ghazi merupakan ejen bebas ketika itu.
El-Ghazi pernah beraksi bersama Villa dan Everton namun berhijrah ke Jerman bagi mencari lebih minit permainan.
Di Bundesliga, pemain tersebut telah melakukan tiga penampilan dengan merekodkan satu bantuan gol musim ini. – Edisi 9