HARRY Kane meneruskan prestasi cemerlang di Bundesliga apabila meledak dua gol dalam penampilan sulung di Allianz Arena sekali gus membantu Bayern Munich menang 3-1 ke atas Augsburg, malam tadi.
Kapten England itu menjaringkan gol pertamanya di depan penyokong sendiri menerusi sepakan penalti selepas bola terkena pemain Augsburg, Niklas Dorsch.
Kane menyepak bola rendah ke tengah gawang ketika penjaga gol Augsburg, Fin Fahmen merebahkan badan ke kirinya sekali gus menggandakan jaringan buat Bayern.
Terdahulu, Bayern memperoleh gol pertama menerusi jaringan sendiri Felix Uduokhai pada minit ke-32.
Dalam pada itu, Kane menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-69 apabila menyudahkan hantaran silang Alphonso Davies.
Pelawat memperoleh gol saguhati menerusi jaringan Dion Beljo pada minit ke-86 namun itu sudah terlambat itu melakar sebarang kebangkitan.
Dua gol yang disumbat Kane menjadikan jumlah keseluruhan gol yang dijaringkan penyerang berusia 30 tahun itu kepada tiga dalam dua perlawanan Bundesliga.
Kane menyumbat satu gol dan satu bantuan jaringan dalam debut Bundesliga minggu lalu ketika membantu Bayern menang 4-0 ke atas Werder Bremen. – Edisi 9