JURULATIH Perak FC, Datuk Lim Teong Kim dilihat ‘koyak’ selepas pasukan bimbingannya dibelasah 5-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) di halaman sendiri dalam perlawanan Liga Super malam tadi.
Reaksi jurulatih itu menjadi tumpuan peminat bola sepak selepas beliau enggan menjawab beberapa soalan yang diajukan wartawan Astro Arena di tepi padang selepas tamat perlawanan.
Teong Kim enggan menjawab soalan yang dikemukakan dengan memberi jawapan sarkastik dengan bekas jurulatih remaja Bayern Munich itu meminta wartawan itu berfikir sendiri terhadap soalan punca kekalahan pasukannya.
Selain itu, gerak tubuh Teong Kim yang membuat isyarat seolah-olah tidak mendengar soalan ketika wartawan Astro Arena bertanya tentang persembahan pasukannya sambil matanya meliar memandang ke arah lain turut mengundang perhatian.
“Saya dah katakan JDT pasukan yang kuat.
“You nampak game bukan? You fikir sendirilah kekurangan kami, bukan you tak lihat game, siapa yang lihat dia tahulah,” katanya.
Sebelum ini, ketua jurulatih berusia 59 tahun itu pernah bertekak dengan segelintir penyokong yang hadir ke stadium selepas pasukan itu tewas kepada Sri Pahang dengan keputusan 3-0 pada bulan lalu.
Perak FC kini menghuni tangga kesepuluh dalam liga dan mencatatkan empat kekalahan dari tujuh perlawanan. – Edisi 9