27.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Kelantan FC tidak layak beraksi di Liga Super musim depan

Mesti Baca

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Kelantan FC gagal memperoleh lesen kebangsaan, sekali gus tidak layak untuk bertanding dalam saingan Liga Super musim 2024/2025.

Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, keputusan itu dibuat kerana Kelantan FC gagal untuk melengkapkan dua kriteria kewangan dibawah sub kriteria F.04 dan F.11.

Katanya, ia membabitkan tunggakan gaji, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 November 2023 dan 31 Disember 2023.

“Selepas gagal menyelesaikan langkah pertama dan langkah kedua pada 30 November 2023 dan 31 Disember 2023, Kelantan FC gagal untuk mendapatkan lesen kebangsaan bagi saingan Liga Super musim 2024/2025.

“Bagaimanapun Kelantan FC diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Badan Rayuan Pelesenan Kelab MFL sebelum tarikh akhir pada 8 Januari 2024 sebelum jam 5 petang terhadap keputusan FIB yang menolak permohonan mereka mendapatkan lesen kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengikut kronologi permohonan Kelantan FC mendapatkan lesen kebangsaan, FIB sebelum ini bersetuju memberikan lanjutan masa untuk Kelantan FC menyelesaikan langkah pertama bagi sub kriteria F.04 sehingga 15 November 2023 untuk menyelesaikan semua tunggakan gaji semasa sehingga Ogos 2023.

Langkah kedua bagi sub kriteria F.11 pula membabitkan penyelesaian lima kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang ada keputusan sehingga 31 Ogos 2023 perlu diselesaikan sebelum atau pada 31 Disember 2023.

Kelantan FC bagaimanapun merayu untuk diberikan lanjutan masa sehingga 30 November lalu bagi menyelesaikan langkah pertama dan FIB menerima rayuan terbabit tetapi dalam masa yang sama mengenakan hukuman denda sebanyak RM20,000 serta sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan seterusnya sehingga semua kes FIFA selesai sepenuhnya.

Sheikh Mohd Nasir menjelaskan, pada 1 Disember 2023 selepas tarikh tempoh 30 November yang diberikan FIB, Kelantan FC menghantar lampiran dokumen bukti menunjukkan ‘post dated cheque’, namun MFL meminta kelab itu menghantar bukti tambahan iaitu resit pembayaran yang menunjukkan bahawa cek sudah dijelaskan.

Advertisements

Beliau berkata, FIB menerima dokumen pada 10 Disember 2023 yang didakwa sebagai bukti pembayaran gaji pemain dan pegawai Kelantan FC untuk Ogos 2023, tetapi FIB mendapati bukti itu tidak mencukupi untuk mematuhi syarat pertama yang diberikan kepada Kelantan FC.

Katanya, FIB juga melakukan semakan bersama Persatuan Pemain Bolasepak Professional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) bagi memastikan bahawa pembayaran gaji sudah dilakukan oleh Kelantan FC.

“Selepas semakan dibuat, terdapat beberapa pemain dan pegawai yang masih belum menerima gaji Ogos 2023 atas beberapa sebab.

“Pihak Kelantan FC menghubungi MFL dan menghantar cek yang baharu berserta melakukan pembayaran dalam talian kepada beberapa pemain dan pegawai terbabit.

“Kelantan FC kemudian menghantar bukti resit pembayaran yang baharu bagi semakan pihak FIB dan mendapati tujuh pemain dan seorang pegawai masih belum menerima gaji penuh untuk Ogos 2023 kerana isu penamatan kontrak antara pemain atau pegawai dengan Kelantan FC.

“MFL meminta Kelantan FC menghantar dokumen sokongan pada 18 Disember 2023 untuk semua tujuh pemain dan seorang pegawai yang terbabit bagi semakan pihak FIB.

“Selepas menerima dokumen daripada Kelantan FC, masih terdapat dokumen sokongan untuk seorang pemain dan seorang pegawai yang tidak lengkap.

“Seterusnya bagi langkah kedua, pihak FIB mengarahkan Kelantan FC menjelaskan semua lima kes FIFA yang mempunyai keputusan sebelum 31 Ogos 2023 sebelum atau pada 31 Disember 2023 jam 5 petang, bagaimanapun pihak FIB tidak menerima sebarang dokumen sehingga tarikh akhir.

Kelantan FC juga tidak menghantar bukti resit bayaran ansuran bulanan mengikut jadual yang ditetapkan oleh KWSP dan PERKESO untuk tunggakan sehingga Ogos 2023,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan