TERENGGANU FC (TFC) akur dengan kegagalan pasukan itu mendapatkan lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan kini memberi fokus untuk memperoleh lesen kebangsaan yang akan tamat pada 30 April ini.
Ini kerana ‘Sang Penyu’ menyedari bahawa slot untuk beraksi di AFC Champione League Elite dan AFC Champions Elite 2 musim 2025-2026 berakhir selepas mereka hanya menduduki tangga kelima Liga Super musim ini.
TFC berkata, pihaknya tidak mengalami apa-apa kerugian kelayakan slot AFC manakala bagi kejohanan ACC Shoope Cup pula tidak memerlukan lesen bertaraf AFC.
“TFC akan fokus untuk mendapatkan lesen kebangsaan yang akan tamat pada 30 April 2025 bagi memastikan layak untuk menyertai saingan Liga Super musim 2025/2026,” kata kelab itu menerusi kenyataan malam ini.
First Instance Body (FIB) hari ini berkata, hanya empat kelab Liga Super berjaya memperoleh Lesen Pelesenan Kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi kitaran 2024–2025.
Pengerusi Jawatankuasa FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, empat kelab yang berjaya adalah Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Sabah FC dan Penang FC.
Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat FIB kali ke-10 yang berlangsung di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya.
TFC berkata, pihaknya telah memaklumkan secara rasmi sebelum tarikh akhir permohonan kepada pihak Malaysian Football League (MFL) untuk tidak meneruskan permohonan.
Ini kerana dua slot untuk kelab Malaysia bersaing di peringkat Asia telah diketahui awal sebelum tamatnya saingan Liga Super.
“Justeru, pihak kelab tidak meneruskan persiapan yang perlu dipenuhi kepada pihak MFL dalam tempoh berbaki tersebut,” katanya.
TFC pada ketika itu, berada di kedudukan keempat Liga Supwe di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Sabah FC.
Namun JDT dan Selangor FC telah mengesahkan lebih awal juara dan naib juara Liga Super apabila dihitung kedudukan semasa dan slot tersebut sudah pasti milik mereka.
Katanya, selain dua pasukan tersebut yang mendapat slot, bagi kelab lain yang mempunyai lesen AFC yang berada di senarai menunggu jika dua kelab yang layak dari segi kedudukan Liga Super tidak diluluskan permohonan lesen. – Edisi 9

