JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memantau keberadaan beberapa produk makanan ringan (jajan) dari Indonesia yang disahkan mengandungi DNA babi di pasaran negara ini.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, ia susulan pengumuman rasmi Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia hari ini berhubung penarikan balik produk makanan daripada pasaran negara itu yang didapati mengandungi DNA babi (porcine).
Beliau berkata, pihaknya memandang serius dengan pengumuman tersebut dan segera melaksanakan pemantauan bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh kepada produk-produk berkenaan jika dikesan berada di pasaran tempatan.
“Jakim menyokong penuh tindakan tegas dan proaktif pihak berkuasa Indonesia dalam menangani isu pelanggaran pematuhan pensijilan halal serta aspek keselamatan makanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, berdasarkan siaran media rasmi BPJPHj hasil pemantauan bersama dengan BPOM mendapati sebanyak 11 ‘batch’ daripada sembilan produk makanan telah dikesan mengandungi DNA babi melalui analisis makmal.



Katanya, daripada jumlah tersebut, sembilan ‘batch’ daripada tujuh produk memiliki sijil halal, manakala dua ‘batch‘ daripada dua produk tidak memiliki sijil halal.
Antara produk tersebut ialah Corniche Fluffy Jelly dan Corniche Marshmallow perisa epal keluaran Sucere Foods Corporation Filipina, dan ChompChomp Car Mallow, ChompChomp Flower Mallow serta ChompChomp Marchmallow (Mini) keluaran Shandong Qingzhou Erko Foodstuffs Co Ltd, China.
Produk lain ialah Hakimi Gelatin (PT Hakiki Donarta, Indonesia); Larbee – TYL Marshmallow perisa vanila (Labixiaoxin Fujian Foods Industrial, China); AAA Marshmallow perisa limau (Chaozhou Chaoan District Yongye Food Co Ltd ) dan SweetMe Marshmallow perisa cokelat keluaran Fujian Jianmin Foods Co Ltd, China.
Sirajuddin berkata, Jakim turut mengarahkan pihak-pihak pengimport yang terlibat agar segera menghubungi pihaknya melalui emel [email protected] dan mengambil tindakan penarikan balik produt terbabit dari pasaran Malaysia.
“Langkah ini adalah sejajar dengan prinsip utama dalam pemeliharaan hak pengguna Muslim serta memastikan integriti sistem pensijilan halal negara sentiasa terpelihara dan diyakini,” katanya.
Justeru, Jakim menyeru orang ramai untuk turut memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan sekiranya menjumpai produk-produk tersebut di pasaran.
Katanya, aduan boleh dikemukakan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM melalui pautan https://islam.spab.gov.my/eApps/system/index.do
“Jakim amat komited dalam memastikan produk yang benar-benar mematuhi piawaian halal dibenarkan berada di pasaran, demi memelihara hak dan kepentingan pengguna Muslim di Malaysia. – Edisi 9

