Monday, July 20, 2026

Malaysia, Indonesia kukuh kerjasama pengurusan bencana serantau

Kerjasama itu melibatkan perkongsian pengalaman, latihan menyeluruh serta kerjasama teknikal antara pasukan pengurusan bencana kedua-dua negara.

Mesti Baca

MALAYSIA dan Indonesia memperkukuhkan kerjasama dalam pengurusan bencana serantau khususnya dalam operasi mencari dan menyelamat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu melibatkan perkongsian pengalaman, latihan menyeluruh serta kerjasama teknikal antara pasukan pengurusan bencana kedua-dua negara.

Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara menghargai kepakaran Indonesia dalam menghadapi pelbagai bentuk bencana berskala besar. 

“Pada masa yang sama, Malaysia bersedia menyumbang menerusi kekuatan teknologi, logistik dan pendekatan kemanusiaan melalui NADMA serta rangkaian serantau seperti AHA Centre dan ASEAN-ERAT,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Sebelum itu Zahid yang kini dalam rangka lawatan ke Indonwsia telah mengadakan kunjungan rasmi ke Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) di Jakarta.

Ketibaan Zahid disambut Kepala BNPB, Jenderal TNI Suharyanto.

Ahmad Zahid dan Suharyanto mengadakan perbincangan di Jakarta.

Katanya, kunjungan tersebut membawa makna besar dalam memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Indonesia dalam aspek pengurusan bencana dan pengurangan risiko bencana (Disaster Risk Reduction – DRR).

Dalam kunjungan itu Zahid turut menyampaikan penghargaan kepada AHA Centre atas tindakan pantas mengaktifkan bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi kuat yang melanda Myanmar baru-baru ini.

Katanya, koordinasi bersepadu dalam kalangan negara anggota ASEAN itu jelas mencerminkan semangat One ASEAN, One Response yang menjadi prinsip teras kita bersama.

“Malaysia percaya bahawa daya tindak yang cekap bermula dengan kesiapsiagaan yang rapi. 

“Dalam dunia yang berdepan risiko iklim dan bencana yang semakin kompleks, kerjasama rentas sempadan amat diperlukan,” katanya.

NADMA, jelas beliau, terbuka menerima cadangan konstruktif daripada BNPB dan Kerajaan Indonesia untuk memuktamadkan bentuk kerjasama yang lebih menyeluruh dan berimpak.

“Marilah kita terus memperkukuh seni bina pengurusan bencana serantau demi memastikan kesejahteraan bersama, keselamatan rakyat dan ketahanan rantau ini terjamin pada setiap masa,” katanya. – Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan