KERAJAAN menyasarkan Malaysia sebagai hab halal global menerusi pelaksanaan lima inisiatif strategik berimpak tinggi bagi memperkukuh ekosistem industri halal negara secara menyeluruh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara inisiatif utama ialah pembangunan Pelabuhan Mesra Halal pertama negara di Pelabuhan Kuantan, yang dijangka menjana nilai ekonomi mencecah RM15 bilion serta mewujudkan lebih 13,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun.
Menurut beliau, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) Bil. 2/2025 yang dipengerusikannya, dengan tumpuan terhadap pengukuhan rantaian nilai industri halal meliputi aspek logistik, pembiayaan, pelancongan, pembangunan negeri serta tadbir urus taman industri halal.
“Pelaksanaan inisiatif ini akan meletakkan Pelabuhan Kuantan sebagai Hab Halal Pantai Timur yang bersepadu, memperkukuh integriti dan kebolehkesanan halal serta meningkatkan kecekapan rantaian logistik, sekali gus melonjakkan daya saing dan eksport halal Malaysia di peringkat serantau dan global,” katanya.
Zahid yang juga Pengerusi MPIH berkata, mesyuarat turut membincangkan usaha memperluas akses pembiayaan industri halal, khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), susulan inisiatif di bawah Belanjawan 2026 Malaysia MADANI.
Beliau mengakui tahap penyaluran pembiayaan kepada PMKS halal masih rendah, terutamanya akibat kekangan cagaran fizikal, justeru menegaskan keperluan penyelarasan lebih kukuh antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan institusi kewangan bagi memastikan akses pembiayaan yang lebih inklusif dan berkesan.
Dalam perkembangan berkaitan, Zahid berkata, pelancongan Islam terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila merekodkan 5.4 juta ketibaan pelancong Muslim dengan perbelanjaan berjumlah RM19.54 bilion pada 2024.
Sehubungan itu, katanya, mesyuarat bersetuju agar Program Muslim-Friendly Assurance Recognition (MFAR) diselaraskan dengan garis panduan pensijilan halal sektor perhotelan bagi memastikan keseragaman standard serta meningkatkan keyakinan pelancong Muslim terhadap perkhidmatan di Malaysia.
Beliau turut menyambut baik pembentangan Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030, termasuk cadangan penubuhan Johor Halal Development Corporation sebagai agensi fasilitasi halal negeri, dan menggalakkan negeri-negeri lain mencontohi pendekatan tersebut.
Selain itu, Zahid berkata, Kerangka Kerja HALMAS baharu yang dicadangkan oleh Halal Development Corporation akan memperjelas peranan agensi peneraju, termasuk MIDA dalam tarikan pelaburan, HDC dalam pembangunan industri dan tadbir urus halal serta MATRADE dalam promosi eksport produk halal.
“Kerajaan Madani meletakkan keyakinan industri halal Malaysia mempunyai masa depan yang amat cerah, namun kejayaan tersebut memerlukan komitmen bersepadu semua pihak,” kata Ahmad Zahid.
Tambah beliau, pelaksanaan berkesan kelima-lima inisiatif strategik itu diyakini mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam pengeluaran dan pensijilan produk serta perkhidmatan halal. — Edisi 9

