
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT, semoga kita beroleh rahmat dan kasih-Nya. Laksanakan apa yang diperintah dan tinggalkan segala yang ditegah.
Berikan tumpuan kepada bicara khutbah, hindari perkara-perkara lagha agar kita dikurniakan ganjaran solat Jumaat yang sempurna.
Mari kita dengar dan hayati khutbah hari ini bertajuk, “Halal Benteng Keutuhan Akidah”.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Pemilihan makanan bukan sekadar urusan selera harian, tetapi suatu perkara besar yang menyentuh asas akidah dan nilai ketaatan kita kepada Allah SWT.
Makanan yang masuk ke dalam tubuh bukan sahaja membina kekuatan jasmani, bahkan turut mempengaruhi kesucian rohani, kejernihan fikiran, dan ketenangan jiwa seseorang Muslim.
Halal yang diperintahkan Allah SWT bukan hanya merujuk kepada bahan yang dibenarkan, tetapi membawa makna penjagaan hati daripada kerosakan, pemeliharaan iman daripada kekaburan, serta pembentukan akhlak yang baik dalam kehidupan seharian.
Apabila seseorang memandang ringan soal halal dan haram, lalu menyuapkan ke dalam tubuhnya sesuatu yang diragui atau diharamkan, maka ketika itulah benteng ketakwaan mula runtuh sedikit demi sedikit.
Jiwa menjadi gelap, doa terhalang, ibadah kehilangan keberkatan, dan akhlak mudah tergelincir tanpa disedari.
Sebab itulah para ulama menyatakan bahawa makanan yang halal dan baik merupakan asas kepada diterimanya amalan seorang muslim.
Bahkan Allah SWT mengaitkan perintah memakan yang halal dengan perintah melakukan amal soleh, menandakan bahawa makanan yang baik menjadi asas kepada kecemerlangan ibadah dan kekuatan akidah.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 168 yang dibacakan pada mukadimah khutbah yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang halal lagi baik yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”
Menurut Ibn Kathir, maksud “makanan yang halal dan baik” bukan sekadar memenuhi keperluan jasmani, tetapi juga menjaga kesucian hati dan akal.
Makanan halal menyuburkan jiwa, menenangkan fikiran, dan menjauhkan diri daripada sifat mazmumah seperti tamak, dengki, dan kejahatan hati lain.
Sebaliknya, mengambil makanan haram membuka pintu kepada tipu daya syaitan dan menimbulkan kegelisahan dalam jiwa.
Maka, dengan memakan yang halal, seorang mukmin memperkuat perisai rohani dirinya dan meneguhkan akal untuk menolak segala bisikan syaitan.
Para Tetamu Allah Yang Diberkati,
Rasulullah SAW juga memberi amaran tentang suatu zaman yang akan datang, di mana manusia tidak lagi mempedulikan dari mana mereka memperoleh rezeki, sama ada halal atau haram.
Dalam sebuah hadis sahih riwayat al-Bukhari, daripada Abu Hurairah RA Nabi SAW bersabda:

“Sungguh akan datang suatu zaman kepada manusia, di mana seseorang tidak lagi mempedulikan dari mana dia memperoleh harta sama ada dari halal ataupun haram.”
Hadis ini mengingatkan kita bahawa kehalalan rezeki adalah kunci keberkatan hidup.
Rezeki bukan sekadar memenuhi keperluan jasmani, tetapi ia juga mempengaruhi keadaan hati, akal, dan rohani kita.
Apabila seorang manusia mengabaikan halal dan haram, ia bukan sahaja menjejaskan akhlak, malah boleh membawa kerosakan pada jasad, hati, dan akal.
Rezeki yang diperoleh daripada sumber haram menimbulkan kegelisahan dalam hati, melemahkan iman, dan menjauhkan seseorang daripada rahmat Allah SWT.
Bahkan, banyak musibah, konflik keluarga, dan ketidakbahagiaan dalam kehidupan lahir daripada rezeki yang tidak halal.
Ini kerana harta yang haram tidak memberi ketenangan dan sering menjadi sumber perbalahan, iri hati, dan tamak dalam masyarakat.
Sebaliknya, rezeki yang diperoleh dengan halal dan baik akan menjadikan hati tenang, akal cerdas, dan kehidupan penuh keberkatan.
Ia bukan sekadar memberi manfaat kepada diri sendiri, tetapi turut memberi kesan positif kepada keluarga dan masyarakat sekitar.
Para tetamu Allah yang dimuliakan,
Dalam konteks negara kita, Malaysia telah menggariskan prosedur yang jelas melalui Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan piawaian MS 1500:2009 bagi memastikan makanan yang disahkan halal benar-benar memenuhi tuntutan syarak.
Piawaian ini bukan hanya menitikberatkan bahan dan proses, bahkan turut menekankan penamaan produk, supaya tidak menimbulkan kekeliruan atau tasyabbuh dengan makanan yang haram.
Permohonan halal akan ditolak sekiranya menggunakan nama yang sinonim dengan perkara haram seperti bak kut teh dan seumpamanya.
Selain itu, produk halal tidak boleh dinamakan dengan istilah seperti ham, bacon, bir, rum dan sebagainya.
Larangan ini penting kerana nama yang mengelirukan boleh menimbulkan fitnah, kekeliruan dan hilangnya sensitiviti umat terhadap halal.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menegaskan bahawa tidak harus menamakan sesuatu yang halal dengan nama yang haram.
Prinsip menjauhi tasyabbuh perlu dipegang untuk menjaga kemuliaan syariat.
Apa sahaja penamaan, label atau promosi yang mengaitkan sesuatu produk halal dengan identiti makanan haram hendaklah diubah secara berperingkat demi menjaga akhlak masyarakat dan keharmonian antara agama di negara ini.
Prinsip syariat Islam menunjukkan bahawa setiap larangan dan pengharaman yang ditetapkan oleh Allah SWT tidak bertujuan menyusahkan manusia.
Bahkan setiap yang diharamkan itu digantikan dengan sesuatu yang lain, yang jauh lebih baik dan lebih besar bidangnya untuk memenuhi keperluan fitrah dan kehendak mereka.
Sebagai contoh, Islam mengharamkan riba lalu membenarkan perniagaan yang mendatangkan keuntungan. Mengharamkan zina lalu menganjurkan perkahwinan yang menjaga keturunan.
Justeru, umat Islam dianjurkan agar berpegang teguh pada yang halal dan menjauhi yang haram kerana setiap ketetapan Allah nyata mempunyai manfaat dan kebaikan yang hakiki.
Tambahan pula, prosedur halal di Malaysia bukan sahaja menitikberatkan perkara halal namun aspek toyyiban iaitu suci daripada unsur-unsur yang merosakkan juga diambil kira.
Kita kini berdepan cabaran baharu: logo halal yang dipalsukan, label “pilihan Muslim” yang tiada kaitan dengan pensijilan halal, serta penamaan produk yang boleh mengelirukan masyarakat.
Justeru, menjadi tanggungjawab kita sebagai pengguna Muslim untuk mendidik diri, memastikan setiap pembelian disemak, dan tidak terpedaya dengan promosi yang tidak mematuhi prosedur halal negara.
Marilah kita memelihara diri, keluarga dan masyarakat daripada perkara syubhah.
Memilih halal bukan pilihan kecil, tetapi tindakan memelihara akidah, menjaga maruah ibadah dan memastikan keberkatan hidup.
Semoga Allah SWT memberi taufiq kepada kita untuk memilih yang halal lagi baik, agar iman sentiasa terpelihara.

Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, 19 Disember 2025

