SELEPAS tiga tahun bergelut dengan kemelut kewangan, Perak FC akhirnya ‘angkat bendera putih’ apabila mengumumkan pemberhentian semua operasi kelab berkuat kuasa serta-merta.
Pengumuman mengejutkan itu dibuat dalam satu kenyataan media rasmi yang dikeluarkan pihak pengurusan Perak FC hari ini, sekaligus menamatkan perjuangan pasukan yang pernah gah di pentas bola sepak tanah air.
Menurut kenyataan itu, kelab telah membelanjakan lebih RM40 juta sejak diambil alih oleh syarikat telekomunikasi, XOX Berhad, termasuk melangsaikan hutang warisan berjumlah RM8 juta yang ditinggalkan oleh pengurusan terdahulu.
Lebih mengejutkan, sebanyak RM10 juta setahun turut dibelanjakan bagi kos operasi termasuk pembayaran gaji empat pasukan, jurulatih dan staf pentadbiran.
“Setiap sen digunakan untuk operasi kelab, bukan untuk keuntungan. Namun selepas dua setengah musim, dana tidak lagi mencukupi untuk diteruskan,” jelas kenyataan itu.
Susulan penamatan operasi, Perak FC turut memaklumkan bahawa semua pemain import dihantar pulang, dan bayaran gaji tertunggak kepada pemain serta kakitangan akan dibayar mengikut kemampuan semasa.
Sumber dalaman memaklumkan bahawa usaha mendapatkan penajaan dan pelabur baharu gagal, sekali gus memaksa pihak pengurusan membuat keputusan pahit tersebut.
Untuk rekod, Perak FC diambil alih oleh XOX Berhad pada awal 2021 dengan harapan mengembalikan zaman kegemilangan skuad ‘The Bos Gaurus’.
Namun, pelbagai kekangan termasuk hutang lapuk, kurang penajaan serta prestasi merudum menjadi penghalang.
Meskipun XOX pada mulanya menunjukkan komitmen tinggi dengan pelaburan jutaan ringgit, realiti dunia bola sepak membuktikan ia bukan sekadar tentang semangat, tetapi juga soal dana berterusan.
Dalam kenyataan itu, Perak FC juga menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang berkemampuan dan berminat untuk mengambil alih serta menyambung kesinambungan pasukan.
Namun, buat masa ini, seluruh struktur operasi termasuk pasukan belia dan akar umbi, turut dihentikan.
“Kami sedih, tapi ini kenyataan. Terima kasih kepada semua penyokong yang setia bersama kami hingga ke akhirnya,” kata kenyataan itu penuh hiba.
Kebanyakan penyokong meluahkan rasa kecewa dan terkejut dengan berita tersebut, terutama menjelang penghujung musim Liga Malaysia.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung nasib Perak FC dalam liga musim ini. – Edisi 9

