ZON Maritim Labuan telah menahan sebuah bot tunda beserta barge di kedudukan 4.0 batu nautika Timur Laut Pulau Labuan, sekitar pukul 9.20 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan Op Sejahtera , Op Khas Kuda Laut, Op Tiris dan Op Khas Pagar Laut itu telah melakukan pemeriksaan terhadap bot tunda tersebut dan didapati Lesen Perkapalan Domestik (DSL) telah tamat tempoh.
“Semasa diperiksa, bot tunda beserta barge tersebut dikendalikan oleh seorang kepten bot, 58 tahun diikuti dengan seorang Chief Officer dan Ketua Jurutera berumur 33 tahun dan 45 tahun.
“Masing –masing adalah warganegara Myanmar dan Indonesia. Bot tunda itu difahamkan dalam pelayaran dari Brunei ke Tawau.
“Daripada siastan lanjut mendapati, bot berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) iaitu Lesen Perkapalan Domestik (DSL) telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, nakhoda,kru,bot tunda beserta barge dan dokumen terbabit telah ditahan dan dibawa ke jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut. – Edisi 9