SETELAH beberapa hari dikecam warganet susulan insiden pasu hiasan berharga hampir RM400,000 milik Datuk Seri Aliff Syukri pecah, pelakon popular Yana Samsudin akhirnya membuka mulut berkongsikan kisah sebenar.
Bahkan, Yana dalam satu hantaran bervideo di Facebook menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai sendiri kejadian tersebut setelah melihat video berdurasi 3 minit 15 saat yang dikongsikannya itu.
“Ini lah kejadian sebenar tiba tiba pasu yang di dakwa bernilai yang saya pecahkan di rumah DAS (Datuk Aliff Syukri).
“Saya menghormati pelawaan pihak Astro untuk program Raya, menjadi pengacara selebriti beraya di rumah selebriti.
“Nasib baik saya ada simpan video ini. Saya bukan berlakon dan tangan saya terluka serta berdarah. Tangan saya betul betul berdarah dan saya sendiri tak pasti macamana ia berlaku. Sebab saya pasti saya tak pegang pasu tu,” katanya hari ini.
Ujar Yana lagi, bukan dia yang menjatuhkan pasu berkenaan dan seandainya ada dakwaan dia terlibat dalam konten semata-mata, ia berlaku diluar pengetahuannya.
“Seandainya apa dakwaan saya terlibat dalam konten atau nak kenakan saya untuk content semata mata. Perkara ini adalah di luar pengetahuan atau tanggungjawab saya.
“Dari sudut mana saya pecah kan pasu itu , korang boleh nilai kan. Pasu tu bukan di tangan saya, tiba tiba terhempas dan jatuh pecah. Nilai lah sendiri , dakwaan yang dilempar kan kepada saya,” katanya.
Kelmarin, Aliff Syukri memuat naik video pergaduhan antara mereka semalam.
Perkongsian Yana itu dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden yang membuatkan suaminya, Fadzil Zahari terpaksa masuk campur selepas usahawan tersebut mendesak pelakon Bini-Biniku Gangster itu membayar ganti rugi dengan nada tinggi.
Pergaduhan yang menunjukkan Fadzil dan Aliff Syukri bergelut dan nyaris bertumbuk itu diperkatakan ramai selepas ahli perniagaan berkenaan berkongsi video mengenainya dalam Instagram.
Bagaimanapun, rata-rata netizen menganggap itu semua antara strategi mempromosikan program yang bakal disiarkan pada musim raya nanti, apatah lagi dalam klip video tersebut Yana seperti menahan ketawa dan tidak realistik dalam lakonan.
-EDISI9